KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Zainol Macwilson menasihatkan anaknya yang juga pelakon, Zahirah agar berhati-hati dengan segelintir individu yang berniat jahat, mempergunakannya demi kepentingan tertentu.
Zainol yang juga pernah menjadi penyampai berita TV3, menitipkan pesanan tersebut menerusi ucapan hari lahir kepada anaknya itu yang dikongsikan di Instagram.
“Kak, usia meningkat setahun lagi dan berharap menjadi lebih matang.
“Seperti biasa, nasihatku: berhati-hati dan berjaga-jaga dengan orang sekelilingmu, keluarga mahupun teman!
“Dan segelintir kenalan, keluarga terdekat yang mahu mempergunakanmu untuk kepentingan mereka. Jadi, sentiasa lebih berhati-hati ok kak! Selamat ulang tahun (1 Februari) dan sayang kamu,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Zainol turut mengakui dia berbangga memiliki anak seperti Zahirah.
“Dengan nama Allah SWT, saya berterima kasih kerana dikurniakan Zahirah Macwilson.
“Saya seorang ayah yang gembira dan cukup berbangga kerana mempunyai anak seperti kamu,” luahnya.
Zainol antara pelakon lama yang pernah popular sekitar tahun 80-an. Antara drama yang pernah dilakonkannya adalah Perempuan, Pak Tam Duda dan Jimi Asmara.
Pada 2020, Zainol aktif kembali menerusi drama Bila Cupid Jatuh Cinta yang turut dibintangi menantunya, Aiman Hakim Ridza dan pelakon manis, Oktovia Manrose.