KEMAMAN: Seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan ditemukan mati dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh ibunya di daerah ini, hari ini.
Mangsa yang merupakan anak sulung kepada remaja berusia 15 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum laporan polis dibuat kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan menemukan kesan tikaman pada bahagian dada kiri bayi itu akibat penggunaan objek tajam.
Katanya, remaja yang keciciran pelajaran sejak tiga tahun lalu itu dipercayai bersendirian di rumah ketika melahirkan anaknya.
“Keluarga mangsa tiada di rumah dan suspek meminta bantuan rakan untuk menghubungi petugas kesihatan berhubung kelahirannya itu.
“Bagaimanapun, petugas kesihatan mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa dengan kesan luka pada dada dipercayai ditikam dan polis kemudian menahan suspek bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Hanyan berkata, suspek yang belum berkahwin dipercayai merupakan mangsa rogol dan polis sudah mengenal pasti lelaki yang melakukan perbuatan berkenaan.
Katanya, mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut termasuk mengesan kecederaan lain pada anggota badan.
Sementara itu, ahli keluarga suspek yang enggan dikenali terkejut mengetahui mangsa hamil dan melahirkan bayi berikutan sudah lama tidak berjumpa. – UTUSAN