SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menafikan aktiviti perlombongan pasir di kawasan-kawasan tertentu menjadi punca kepada kejadian banjir luar biasa yang berlaku di Selangor khususnya sekitar Lembah Klang, pada Disember lalu.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, banjir besar yang berlaku hujung tahun lalu contohnya adalah berpunca daripada limpahan air dari hulu sungai yang menyebabkan kawasan hiliran mengalami banjir besar.
“Tidak ada sebab (banjir), itu adalah perkara biasa yang berlangsung sekian lama dan tidak ada kesan-kesan daripada perlombongan pasir.
“Sebahagian perlombongan pasir adalah untuk menyediakan Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) dan juga kolam takungan. Jadi HORAS untuk takungan air, tidak mungkin, itu adalah perlombongan pasir di tasik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Ikon Agro Selangor 2021 di Wisma PKPS malam tadi.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan,Kerajaan Negeri Selangor diminta untuk mengkaji semula aktiviti korek pasir di negeri ini khususnya di kawasan Bestari Jaya yang dikatakan menjadi punca kejadian banjir besar baru-baru ini.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya ada menyuarakan kebimbangan penduduk di kawasan itu mengenai aktiviti pengorekan pasir yang dilihat semakin rancak sejak kebelakangan ini.
Katanya, pada Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Selangor dua minggu lalu yang turut dihadiri Amirudin, pihaknya telah meminta supaya kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat membuat kajian bagi mengenal pasti punca banjir buruk itu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata HORAS dijalankan di kawasan hilir bukannya di hulu maka tidak mungkin ia menjadi punca banjir.
“Setakat ini kita kena terima hakikat bahawa banjir berlaku disebabkan jumlah hujan yang tinggi dan dalam tempoh tertentu air hujan tersebut memerlukan pengaliran dan dalam masa sama berlaku air pasang besar.
“Banjir boleh berlaku di Bestari Jaya di hilir jika limpahan air berlaku di Hulu Selangor. Begitu juga di Sepang yang mengalami banjir disebabkan hujan lebat dari Hulu Langat yang akhirnya sampai di Kuala Langat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










