TANJONG KARANG: Dua beradik yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Bernam–Tanjong Karang di sini, semalam sempat menyatakan hasrat mereka untuk bekerja di Australia selepas sambutan Aidilftri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Sha Sabarina Marsom, 27, dan adiknya, Norhidayah, 20, maut selepas kereta Toyota Camry dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah kereta Mercedes.
Ibu mangsa, Nurhayati Shanti Abdullah, 54, berkata dia sempat menemui dua anaknya itu yang menziarahinya di Sungai Nibong, Sekinchan, kira-kira pukul 4.30 petang sebelum kejadian itu.
“Sebelum bertolak pulang ke Klang, mereka sebelum itu memberitahu mahu ke bekerja selama setahun di Australia selepas raya nanti.
“Sebelum pergi ke sana, saya mahu memeluk dan mencium mereka berdua, tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana kedua-duanya dijemput Ilahi lebih awal, serentak pula,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Sha Sabarina disahkan terkorban di tempat kejadian manakala Norhidayah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
Pemandu lelaki berusia 54 tahun yang memandu Mercedes berwarna perak pula mengalami kecederaan ringan.
Menurut Nurhayati, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika menunggu kelas fardu ain secara dalam talian di rumahnya, kira-kira pukul 5.30 petang.
“Selepas menerima panggilan telefon itu, saya pada awalnya menyangka ia hanya kemalangan biasa dan bergegas ke hospital.
“Namun, sangkaan saya meleset dan terkejut apabila diberitahu mereka berdua meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Tambah beliau, pemergian dua beradik yang bekerja sebagai juruwang kedai serbaneka itu dianggap kehilangan besar dalam keluarga.
“Hubungan mereka berdua amat rapat dan sentiasa berbakti kepada keluarga.
“Saya seolah-olah masih tidak percaya dengan kehilangan itu dan berasakan mereka masih ada,” katanya.
Kata Nurhayati, jenazah kedua-duanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23 Sungai Nibong selepas selesai urusan bedah siasat. –UTUSAN ONLINE