Anwar ingatkan calon PKR tumpu isu rakyat - Utusan Malaysia

Anwar ingatkan calon PKR tumpu isu rakyat

ANWAR Ibrahim (empat dari kiri) bersama pimpinan PKR dan calon-calon PRN Johor sempena majlis pengumuman calon bagi zon selatan di Hotel Thistle, Johor Bahru. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua calon PKR yang diberi kepercayaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan agar memberi tumpuan kepada isu rakyat dalam usaha menawan hati pengundi di negeri ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, resolusi yang dicapai ketika proses pemilihan calon kali ini menjadi batu asas terhadap usaha membentuk kerajaan yang berjiwa rakyat.

“Sebab itu saya anggap pendekatan ini perlu dimanfaatkan semua calon, fokuskan isu rakyat kerana kita melihat tak semua parti dalam manifestonya benar-benar meluahkan hati nurani rakyat,” katanya berucap pada majlis pengumuman calon di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar mengakui proses pemilihan calon bukanlah mudah dan terdapat masalah dalam menentukan calon yang benar-benar layak memandangkan rundingan turut melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan rakan pembangkang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu, setelah senarai calon diperoleh, pimpinan parti berbelah bahagi mahu membuat pengumuman awal atau menunggu sehingga hampir hari penamaan calon.

“Kita nak bertanding 20 kerusi, yang layak ada 2,000 dan yang mengharap 20,000. Namun sampai masa kita terpaksa sempurnakan tugas, umumkan bakal calon bagi PRN Johor.

“Oleh itu, dalam mengambil kira pertimbangan ini, (tetap) ada masalah diumum awal dan lambat, (jadi) kita berpendapat lebih baik umum awal supaya membolehkan jentera mulakan gerak kerja awal sebagai satu pasukan.

“Walaupun proses senarai calon PRN Johor agak rumit namun kali ini kita berjaya memutuskan nama calon jauh lebih awal,” katanya.

Katanya, jentera PKR harus dipastikan gerakannya di lapangan dengan cukup berkesan sama ada bertanding di kawasan bandar, desa serta di kawasan yang majoriti pelbagai suku kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN