WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine terutamanya senjata pertahanan bagi membantu negara itu mempertahankan diri daripada serangan Russia yang semakin hebat.
Keputusan AS sebelum ini untuk menangguhkan sebahagian penghantaran senjata ke Kyiv telah mencetuskan kebimbangan dari Ukraine yang memberi amaran langkah itu akan menjejaskan keupayaannya menangkis serangan udara dan kemaraan tentera Russia.
Langkah tersebut turut menerima kritikan daripada parti Demokrat dan sebahagian ahli Republikan sendiri.
“Kita akan hantar lebih banyak senjata, kita tiada pilihan. Mereka perlu mempertahankan diri.
“Mereka sedang diserang dengan sangat hebat sekarang. Kita perlu hantar lebih banyak senjata, terutamanya senjata pertahanan,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih sebelum majlis makan malam bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam satu kenyataan susulan, Jabatan Pertahanan AS menyatakan mereka akan menghantar tambahan senjata pertahanan ke Ukraine atas arahan Trump bagi memastikan Ukraine mampu mempertahankan diri sambil usaha ke arah keamanan berkekalan diteruskan.
Pentagon memaklumkan inisiatif untuk menilai semula penghantaran ketenteraan ke seluruh dunia masih berkuat kuasa.
Pada Jumaat lalu, Trump memberitahu media Ukraine memerlukan peluru berpandu Patriot untuk mempertahankan diri, namun beliau tidak menyebut secara khusus mengenai sistem itu dalam kenyataannya pada Isnin.
Kenyataan Pentagon juga tidak merincikan jenis senjata yang akan dihantar ke Ukraine.
Selepas perbualan telefon dengan Trump pada Jumaat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, mereka bersetuju untuk meningkatkan keupayaan Kyiv bagi mempertahankan ruang udara ketika serangan Russia semakin meningkat.
Zelensky turut menyatakan kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dalam pengeluaran pertahanan bersama, pembelian serta pelaburan ketenteraan.
Ukraine sebelum ini meminta Washington untuk menjual lebih banyak peluru berpandu dan sistem Patriot yang dianggap penting bagi mempertahankan bandar-bandar utamanya daripada serangan udara Russia yang semakin kerap.-AFP










