Ancaman Covid-19 varian Omicron tak jejas sistem kesihatan negara - KJ

Ancaman Covid-19 varian Omicron tidak jejas sistem kesihatan negara – KJ

KHAIRY Jamaluddin ketika dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peningkatan kes Covid-19 buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, walaupun negara kini berhadapan dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi.

Katanya, seperti hari ini, sebanyak 11,034 kes positif Covid-19 dan peningkatan ini bukan sesuatu yang luar jangka kerana situasi ini disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak seperti yang berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia.

“Kali terakhir negara kita melaporkan kes lima angka adalah pada 2 Oktober 2021, iaitu empat bulan yang lalu di mana terdapat peningkatan ketara kes baharu harian pada bulan Februari tahun ini. 

“Sejumlah 5,566 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada 1 Februari; 5,736 kes pada 2 Februari 2022; 5,720 kes pada 3 Februari; 7,234 kes pada 4 Februari; 9,117 kes pada 5 Februari dan 10,089 kes pada 6 Februari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khairy berkata, kebanyakan kes juga merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal satu dan dua.

Katanya, buat masa ini, kadar penggunaan katil Covid-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan.

“Bagi perkara berkaitan kluster pula, pada Minggu Epid 5, terdapat 89 kluster baharu yang dikenal pasti dengan 353 kluster aktif iaitu 52 kluster (58.4 peratus) merupakan kluster pendidikan; 20 kluster (22.5 peratus) kluster tempat kerja; tujuh kluster (7.9 peratus) kluster komuniti; enam kluster (6.7 peratus) kluster dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi; tiga kluster (3.4 peratus) kluster pusat tahanan dan satu kluster (1.1 peratus) kluster keagamaan.

“Terdapat penurunan jumlah kluster yang dilaporkan pada Minggu Epid 5 iaitu sebanyak 16 peratus berbanding 106 kluster dilaporkan pada minggu sebelumnya iaitu Minggu Epid 4 tahun 2022,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang terbaharu ini, Kementerian Kesihatan juga telah mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

“Ia akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan antaranya menambah katil dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta. 

“Perjalanan RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), yang akan membuat pelaporan terus kepada Menteri Kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya