PUTRAJAYA: “Perjuangan saya untuk anak lelaki selama 10 tahun membuahkan hasil. Alhamdulillah, hari ini adalah sangat bermakna dan pengiktirafan ini penting untuk kami sekeluarga,” luah Adlyn Adam Teoh, 41, seorang daripada tiga ibu yang mendapatkan dokumen kewarganegaraan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk anaknya hari ini.
Dia yang juga pakar keselamatan siber bersama dua lagi ibu, Myra Eliza Mohd. Danil, 30, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Devi hadir ke JPN hari ini bagi mendapatkan dokumen kewarganegaraan.
“Anak saya dilahirkan di Hong Kong manakala suami saya berasal dari China. Sewaktu kelahirannya, dia tidak mempunyai kewarganegaraan. China tak boleh dan Malaysia pun tak boleh, sekali gus berdepan masalah untuk membuat pasport.
“Kami mengambil keputusan membawa anak saya pulang ke Malaysia selepas mendapatkan kebenaran dan bermulalah perjuangan saya. Saya tak boleh nak masukkan anak saya bersekolah di Kementerian Pendidikan selain berdepan masalah-masalah lain,” katanya ketika ditemui di JPN, di sini hari ini.
Pada mulanya, ketiga-tiga ibu tersebut kecewa apabila dimaklumkan dokumen kewarganegaraan tidak dapat dikeluarkan berikutan masalah ketetapan pada mesin pencetak dan mereka yang ditemani Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers), Suriani Kempe keluar dengan perasaan hampa.
Mereka datang ke JPN pukul 2.30 petang dan keluar kira-kira dua jam setengah selepas itu yang harapan kembali cerah apabila dimaklumkan oleh pihak jabatan bahawa ia boleh dikeluarkan sekali gus perlu menunggu kembali.
Dalam pada itu, Adlyn yang berasal dari Sarawak berkata, dia melahirkan rasa syukur apabila akhirnya dapat dikeluarkan walaupun terpaksa menunggu lama gara-gara masalah mesin pencetak.
“Alhamdulillah, kami berasa gembira apabila minit terakhir kami dimaklumkan dokumen kewarganegaraan dapat dikeluarkan. Sekarang ada perkara-perkara lain yang perlu diuruskan dan anak saya juga sudah dua tahun tidak bertemu bapanya susulan pandemik Covid-19.
“Kalau dapat keluar ke sana, anak saya tidak dapat masuk ke Malaysia. Jadi dengan pengiktirafan ini, ia memberi kelegaan untuk membuat pasport selain boleh pulang ke Sarawak memandangkan tahun lalu, nenek saya uzur dan kami tak dapat pulang ke sana sehinggalah arwah meninggal dunia,” ujarnya.
Seorang lagi ibu, Myra Eliza berkata, dia melahirkan rasa syukur dan gembira apabila akhirnya anak perempuan berusia lapan tahun memperoleh dokumen kewarganegaraan.
“Saya berjuang sejak dia berusia empat bulan dan sekarang usia anak saya berusia lapan tahun. Alhamdulillah beban saya dah berkurang dan akan menguruskan pasport anak pula memandangkan akan ke Zambia dalam minggu ini,” katanya.
Pengiktirafan yang diperoleh itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Disember lalu yang menolak permohonan kerajaan dan memerintahkan kerajaan mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada kanak-kanak tersebut yang lahir di luar negara oleh ibu mereka yang merupakan rakyat Malaysia. – UTUSAN