'Afif, Aafia tak takut dicucuk jarum' - Utusan Malaysia

‘Afif, Aafia tak takut dicucuk jarum’

AFIF Zayd Aiman Asyraf menjadi antara penerima vaksin terawal di negeri ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: “Saya tak takut pun. Adik pula mula-mula hendak menangis, tetapi, selepas saya pujuk, sudah tidak takut. Apabila siap dicucuk, dia pula yang seronok dan tidak sabar mahu bergambar.” 

Demikian reaksi Afif Zayd Aiman Asyraf, 9, ketika ditanya Utusan Malaysia pengalaman dia dan adiknya, Aafia Zulfa, 7, sebagai antara penerima vaksin terawal di negeri ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids).

Afif Zayd yang petah berkata-kata memberitahu, suntikan itu juga tidak ‘sakit’ dan dia berharap lebih ramai rakan-rakan menerima vaksin melalui PICK Kids yang bermula hari ini di seluruh Kelantan.

Sementara itu, ibu mereka, Dr. Afiqah Syamimi Marsani, 34, berkata, gara-gara teruja untuk menerima suntikan vaksin di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) di sini, dua beradik itu bangun seawal pukul 6.30 pagi.

Kata Dr. Afiqah Syamimi, sebagai pegawai kesihatan, dia sudah memberi pendedahan awal kepada kedua-dua anaknya mengenai bahaya Covid-19 dan keperluan mendapatkan vaksin sebagai perlindungan diri.

“Mereka betul-betul kelihatan ceria hari ini. Layanan mesra para petugas kesihatan yang turut menghadiahkan belon membantu melancarkan lagi proses suntikan mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, ketika melancarkan PICK Kids Peringkat Negeri Kelantan di lobi HRPZ II, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, seramai 244 kanak-kanak di seluruh negeri ini selamat menerima suntikan vaksin setakat ini. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN