30,000 mangsa tuntut selesaikan segera isu agih bantuan banjir Selangor - Utusan Malaysia

30,000 mangsa tuntut selesaikan segera isu agih bantuan banjir Selangor

NAZILAH Idris bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bangunan SUK bagi menyerahkan memorandum daripada Gabungan NGO Selangor kepada kerajaan negeri bagi menuntut penjelasan kelewatan bantuan mangsa banjir di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini menjadi tumpuan sebilangan penduduk mangsa banjir yang menuntut disegerakan agihan bantuan seperti dijanjikan.

Dianggarkan separuh daripada kira-kira 60,000 mangsa banjir di negeri ini didakwa masih belum menerima bantuan seperti Bantuan Selangor Bangkit (BSB) daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan walaupun sudah lebih sebulan bencana tersebut berlaku.

Menurut Pengerusi, Sekretariat Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari perlu menjelaskan mengenai kelewatan yang berlaku apabila beliau mendakwa menerima banyak aduan tentang bantuan tersebut.

“Malah saya difahamkan, separuh daripada 60,000 mangsa banjir di seluruh negeri ini yang langsung belum mendapat sebarang wang bantuan daripada kerajaan negeri.

“Apa sebenarnya yang berlaku kepada kerajaan negeri kerana kejadian banjir dah berlaku hampir dua bulan, tapi masih ramai yang belum dapat bantuan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada kerajaan Selangor di pekarangan Bangunan SUK yang diterima Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohd. Izzat Latif.

Sehubungan itu, Nazilah memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada kerajaan negeri untuk mengagihkan keseluruhan bantuan BWI serta BSB kerana ramai mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan tersebut untuk memulakan semula kehidupan mereka.

“Mungkin RM1,000 ini nampak kecil bagi mereka yang bergaji besar tetapi nilainya sangat besar kepada mangsa banjir ini.

“Jadi saya yang mewakili mangsa banjir berharap kerajaan negeri mesti segera mengagihkan wang bantuan ini,” tegasnya.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Maymon Gelembo, 58, meluahkan rasa kesal terhadap kelewatan pihak kerajaan negeri mengagihkan dua bantuan berkenaan, malah mendakwa masih ramai mangsa banjir di Taman Sri Muda yang masih tidak menerima satu sen wang bantuan itu.

“Sudah habis duit simpanan sendiri untuk membaiki rumah dan kenderaan yang rosak teruk akibat banjir. Tolonglah kami, kerana ramai mangsa amat memerlukan duit bantuan ini walaupun hanya RM2,500 sahaja,” katanya yang tinggal bersama dua anak serta empat cucu.

Terdahulu, Selangor dilanda banjir luar biasa pada 17 Disember lalu apabila lebih 30,000 mangsa dipindahkan ke 202 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya