16 PATI dicekup tidak sempat kerja ladang sawit - Utusan Malaysia

16 PATI dicekup tidak sempat kerja ladang sawit

SEBAHAGIAN PATI ditahan pasukan PGA Batalion 4 Semenyih dalam dua operasi di pesisir pantai Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak sempat bekerja di ladang kelapa sawit di negara ini apabila dicekup pihak berkuasa di pesisir pantai Kampung Sungai Yu di sini, semalam.

Kesemua 15 lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 48 tahun itu dipercayai dijanjikan pekerjaan berkenaan oleh pihak tertentu di Pahang.

Walau bagaimanapun, hajat mereka tidak kesampaian apabila dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih dalam dua operasi berasingan bermula kira-kira pukul 11.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintenden Rizal Mohamed berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat pihaknya mengenai kewujudan PATI di kawasan berkenaan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan itu dipercayai baru tiba menerusi jalan laut dengan menaiki bot.

“Tangkapan pertama melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita manakala dua lagi lelaki diberkas dalam operasi berikutnya. Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati kesemua individu itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rizal, siasatan awal pihaknya mendapati semua PATI berkenaan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 untuk memasuki negara ini.

“Kesemua mereka dipercayai bakal bekerja di sebuah ladang sawit di Pahang. Tangkapan dibawa ke Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua warga asing itu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan pandemik. Hasil saringan mendapati enam daripada mereka positif Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN