Warisan sebagai pilihan, bukan pecahkan pembangkang - Utusan Malaysia

Warisan sebagai pilihan, bukan pecahkan pembangkang

MOHD. Shafie (duduk-kiri) beramah mesra dengan peniaga di Tamu Jalan Gaya di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak melihat perpecahan dalam blok pembangkang sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Demi pembangunan di negara ini, Warisan ingin tampil sebagai pilihan yang ada untuk rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bukannya ingin memecah belah blok pembangkang.

“Kita tidak boleh fikirkan tentang mereka (pembangkang lain), kita kena fikirkan tentang negara dan kepimpinan di negara ini.

“Apa yang kita bimbangkan adalah hala tuju negara ini. Kita tak boleh bimbang sangat ini akan membawa perpecahan kepada pembangkang. Apa yang kita nyatakan di sini ialah kita mahu menyediakan pilihan kepada rakyat.

“Sudah jelas di Melaka dan Sarawak dan tempat-tempat lain bahawa mereka bukan pilihan jadi, macam mana nak buat pilihan,” katanya semasa sidang akhbar semasa program jangkaunan luar (walkabout) sempena Tahun Baharu Cina di Tamu Jalan Gaya hari ini.

Mohd. Shafie berkata demikian semasa mengulas mengenai kemungkinan pembangkang bertembung sesama sendiri pada PRU-15.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau sudah bekerjasama dalam UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan  (PH) maka, beliau sudah mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Menurut beliau, Warisan bukannya degil tidak mahu bekerjasama dengan pihak lain tapi, Warisan mahu memberi pilihan kepada rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, parti itu terbuka untuk menerima tiga bekas pemimpin DAP Sabah termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti baru-baru ini.

Katanya, jika ADUN Bebas Teratai, Selangor, Bryan Lai boleh diterima maka, tidak mustahil untuk Warisan menerima bekas ADUN DAP Sabah.

Walau bagaimanapun, setakat ini mereka belum berjumpa mahupun menyatakan hasrat ingin menyertai Warisan. Malah, Warisan juga belum ada mendekati mereka.

Tiga bekas pemimpin DAP Sabah yang keluar parti pada 20 Januari ialah ADUN Sri Tanjong Justin Wong, ADUN Elopura, Calvin Chong dan bekas Senator Adrian Lasimbang.

Turut menyertai walkabout berkenaan ialah tiga bekas pemimpin DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Selangor, Bryan Lai Wai Chong; bekas Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun dan bekas ADUN Batu Lanchang, Datuk Danny Law Heng Kiang. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya