Warga China rugi setengah juta ringgit diperdaya urusan bekal minyak sawit - Utusan Malaysia

Warga China rugi setengah juta ringgit diperdaya urusan bekal minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang warga China rugi setengah juta ringgit apabila ditipu dalam urusan pembekalan minyak sawit, Oktober lalu.

Mangsa berusia 42 tahun itu yang merupakan pemilik sebuah syarikat di China berurusan dengan suspek bagi pembekalan minyak sawit dari Indonesia ke China sebanyak 600 tan dianggarkan bernilai RM1.95 juta (AS$465,000) pada 4 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa kemudian membuat dua transaksi pembayaran sebagai wang pendahuluan berjumlah RM592,526.25 ke dalam akaun bank milik syarikat suspek pada 11 Oktober dan 20 Oktober lalu.

Menurutnya, mengikut perjanjian, syarikat mangsa akan menerima bekalan minyak sawit di dalam tempoh 15 sehingga 20 hari.

“Namun sehingga kini tiada sebarang bekalan minyak diterima. Mangsa sedar dirinya diperdaya apabila suspek bertindak menghilangkan diri.

“Kita telah mengenal pasti suspek yang merupakan warga tempatan serta pemilik syarikat pembekal barang runcit. Jumlah kerugian adalah berjumlah RM592,526,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Mahidisham, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan kesahihan dokumen sebelum membuat keputusan memberi derma.

Sebarang maklumat berkenaan sindiket ini, sila hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/ 1599 atau mana-mana balai berdekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN