Wajar letak 70 peratus muka baharu, ganti pemimpin korup - Utusan Malaysia

Wajar letak 70 peratus muka baharu, ganti pemimpin korup

LEE KUOK TIUNG dan ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Langkah meletakkan 70 peratus muka baharu mahupun calon muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) amat wajar bagi menggantikan pemimpin korup yang bermasalah integriti pada masa ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Romzi Ationg berkata, pemimpin tidak boleh berterusan menutup mata dan telinga rakyat yang mahukan pemimpin berintegriti serta berkredibiliti untuk memacu pembangunan negara.

Katanya, ketika ini ramai pemimpin muda yang mempunyai kualiti kepimpinan yang baik namun, sistem parti-parti politik di negara ini menyukarkan mereka untuk tembus dan diangkat sebagai calon.

Beliau berkata, ada sesetengah kepimpinan parti kurang berminat mengetengahkan calon muda kerana mereka sudah terlalu selesa dengan muka-muka lama yang disifatkan ‘calon pasti menang’.

“Senario politik semasa memerlukan golongan muda diangkat untuk menjadi pelapis dan peneraju agenda pembangunan negara menerusi idea-idea yang lebih segar.

“Malah, mereka ini masih bertenaga namun, faktor pengetahuan dan pendidikan serta sikap kepimpinan mereka juga perlu diambil kira,” katanya.

Berlainan dengan pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung yang melihat formula calon muda tidak terpakai untuk semua peringkat pengundi.

Beliau berkata, pada PRU-14, Barisan Nasional (BN) Sabah turut meletakkan ramai calon muda tetapi, mereka tetap kalah. Ketika itu calon-calon muda daripada Pakatan Harapan (PH) lebih berpotensi menang.

Berdasarkan situasi itu, beliau tidak melihat ada keperluan menetapkan kuota tertentu untuk calon-calon pilihan raya. Sistem kuota sebegitu hanya alasan untuk melobi menjadi calon sahaja.

“Kita melihat ada pihak tertentu yang menetapkan kuota berasaskan demografi seperti wanita, umur (orang muda) dan entik (orang asal) sedangkan pemilihan calon itu seharusnya berlandaskan kepada merit.

Di Sabah, ramai pemimpin muda yang berwibawa dan berkebolehan namun, ada antara mereka hanya menonjol dalam aspek tertentu sahaja. Mereka ini tidak mampu menarik sokongan semua pihak.

Untuk menjadi calon, parti harus memilih seseorang yang boleh diterima umum dan berupaya meraih sokongan majoriti daripada masyarakat dan bukannya seseorang yang disukai oleh kepimpinan parti.

Jelas beliau, isu pilih kasih dalam pelantikan calon juga antara perkara yang perlu diberi perhatian serius kerana ada calon yang dipilih kerana pertalian keluarga mahupun rapat dengan pucuk pimpinan parti. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya