NIBONG TEBAL: Teknik pengeboman air (water bombing) bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini mungkin tidak akan diteruskan berikutan api masih sukar dipadamkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kesukaran itu disebabkan sampah di kawasan tersebut terdiri daripada lapisan plastik yang mana menghalang air sampai ke punca api.
Selain itu katanya, faktor cuaca panas yang mencapai sehingga 38 darjah Celcius dan tiupan angin dari laut yang kuat mencecah antara 20 hingga 40 kilometer sejam juga menyebabkan kaedah pemadaman api dari udara tidak sesuai diteruskan.
Jelasnya, dalam operasi hari kedua menggunakan kaedah ‘water bombing‘ hari ini, sebanyak 39,000 liter air dilepaskan dari udara di tapak kebakaran tersebut.
SEBANYAK 39,000 liter air lagi dicurahkan dari udara oleh helikopter JBPM hari ini bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang. – IHSAN BOMBA
“Operasi hari ini bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 3.30 petang tadi melibatkan sebanyak 26 curahan dari udara yang diambil dari sumber air terbuka.
“Secara keseluruhan dalam dua hari operasi pemadaman menggunakan kaedah ‘water bombing‘, sebanyak 61,500 liter air telah dilepaskan daripada 41 jumlah curahan sejak semalam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Operasi hasil keputusan Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) itu dijalankan oleh lapan anggota menggunakan dua helikopter dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang.
Sejak dikesan Rabu lalu, kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang memasuki hari kesembilan hari ini dan melibatkan keluasan kira-kira tujuh hektar masih belum dipadamkan sepenuhnya.
Ekoran bencana itu juga, kira-kira 400 penduduk daripada 86 buah keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar.
Sebahagian mereka kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.
Kejadian itu juga menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari sehingga esok berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa.