TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sambil memuji beliau sebagai sekutu paling setia Israel, di saat rejim tersebut terus menggempur infrastruktur dan fasiliti milik Iran.
Ucapan tersebut isyarat mempererat hubungan peribadi antara kedua-dua tokoh, meskipun media Israel sebelum ini melaporkan wujudnya ketegangan dalam hubungan mereka susulan ancaman Netanyahu untuk melancarkan serangan unilateral terhadap Iran, ketika Washington giat mengadakan rundingan diplomatik dengan Tehran berkaitan program nuklear negara itu.
Beberapa jam selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran pada Jumaat lalu, Trump dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan itu sebagai cemerlang dan sangat berjaya.
Reaksi itu pantas dibalas oleh Netanyahu dengan pujian melangit ke atas pemimpin Republikan tersebut.
“Selamat Hari Lahir kepada Presiden Donald J. Trump. Anda seorang pemimpin luar biasa, tegas, berani, berwawasan dan bertindak dengan jelas. Anda telah melakukan banyak perkara besar untuk Israel,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan rasmi.
Serangan udara yang dilancarkan Israel pada Jumaat menyasarkan beberapa lokasi yang didakwa berkaitan dengan program nuklear Iran.
Netanyahu menegaskan operasi tersebut adalah sebahagian daripada perjuangan antara masyarakat bebas dengan apa yang disifatkannya sebagai rejim penjenayah Iran yang menyebarkan keganasan ke seluruh dunia.
“Musuh kami adalah musuh anda. Dengan apa yang kami lakukan sekarang, kami sedang menangani ancaman yang lambat-laun akan membahayakan kita semua. Kemenangan kami adalah kemenangan anda,” ujar Netanyahu.
Teheran dalam reaksinya menafikan segala dakwaan Barat yang menuduhnya merancang untuk membina senjata nuklear secara rahsia disamping turut menyelar Amerika Syarikat kerana didakwa terlibat secara tidak langsung dalam siri serangan Israel, namun tuduhan itu dinafikan oleh Washington.
Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu turut mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-250 angkatan tentera Amerika Syarikat, dengan menyifatkan pasukan tersebut sebagai penjaga kebebasan selama dua setengah abad.










