PUTRAJAYA: Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move) menyarankan agar penyelidikan rapi dilakukan segera bagi menilai kesan peranti elektronik atau vape kepada perokok tegar.
Presidennya, Samsul Kamal Ariffin berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan mereka yang merokok produk tembakau beralih pula kepada vape secara berperingkat.
“Move berpandangan usaha peralihan ini mestilah dengan tujuan utama membantu perokok mengurangkan lagi risiko apabila bertukar kepada vape,” katanya menerusi kenyataan merujuk pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini yang akan menggubal akta baharu bagi mengawal ketat isu penjualan produk vape di pasaran tempatan.
Langkah itu turut dimaklumkan pihak kementerian berkenaan semasa penerangan sesi libat urus diadakan pada akhir tahun lalu berkaitan akta yang bakal digubal dalam masa terdekat.
Kawalan tegas itu juga sangat perlu bagi memastikan semua produk vape atau cecair rokok elektronik yang dijual bebas di pasaran secara terbuka dijamin lagi tahap keselamatannya.
Mengulas lanjut, Samsul Kamal yang menyambut baik usaha kementerian itu berkata, keperluan pendaftaran produk dan analisis makmal adalah penting bagi pengawalan lebih ketat selain menyokong semua aktiviti penjualan dalam talian serta pengiklanan dikawal selia seperti produk tembakau bagi menutup akses remaja dan kanak-kanak kepada vape.
Menyentuh kenyataan Persatuan Advokasi Industri Vape Malaysia (MVIA) bahawa peranti itu menjadi fasa peralihan daripada sektor rokok tembakau, beliau meragui teori tersebut dan sebaliknya berpendapat, pandangan berkenaan perlu dibuat secara berhati-hati kerana tiada asas menyokong kesan inovasi jutaan perokok di seluruh dunia bertukar kepada vape. – UTUSAN ONLINE