UMNO yakin rampas kerusi DUN Bugaya  - Utusan Malaysia

UMNO yakin rampas kerusi DUN Bugaya 

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: UMNO Sabah yakin mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksana dalam masa terdekat.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika ini, UMNO mempunyai 180 cawangan di kawasan Bugaya.

Menurut beliau, sekiranya semua ahli memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) yang diletakkan di situ maka tiada sebab parti itu sukar merampas kerusi DUN berkenaan.

Pada masa ini, UMNO Sabah sedang mempertimbangkan untuk meletak calon pada PRK DUN Bugaya selepas mengambil kira sokongan rakyat terhadap UMNO di situ.

“Kekalahan calon BN, Datuk Abd Razak Tun Sakaran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukanlah satu ukuran dan ia tidak akan melemahkan semangat UMNO untuk meletakkan calon jika PRK diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Kita faham pengaruh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Presiden Parti Warisan ketika itu sangat kuat.

“Walau bagaimanapun, penerimaan semula rakyat terhadap BN/UMNO semakin meningkat. Ia terbukti dalam beberapa siri PRK dan kemenangan bergaya BN semasa PRN Melaka baru-baru ini,” katanya selepas perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Bahagian Semporna baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, apa yang penting pada masa ini kepimpinan UMNO bahagian perlu bekerja keras mendekati rakyat di peringkat akar umbi dengan menggerakkan semua sayap parti.

“Di samping itu, keahlian parti juga perlu dibersihkan. Sekiranya maklum balas peringkat akar umbi positif maka, kita akan membuat ketetapan sama ada meletakkan calon atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, pada PRN Sabah yang lepas, BN/UMNO tidak meletak calon di DUN Bugaya kerana ketika itu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Daud Tampokon yang bertanding di situ dan kalah kepada calon Warisan iaitu Manis Muka Mohd. Darah.

Manis Muka berjaya mengekalkan kerusi DUN Bugaya dengan majoriti 6,005 undi, selepas memperoleh 8,557 undi menewaskan enam calon lain pada PRN Sabah 2020.

Kerusi DUN Bugaya diisytiharkan kosong setelah penyandangnya, Manis Muka meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada 17 November 2020. Namun, PRK di kawasan DUN itu ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat dilakukan susulan pandemik Covid-19.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, berkemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan PRK DUN Bugaya dalam masa terdekat dan UMNO Sabah sudah bersedia menghadapi pilihan raya ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN