UMNO tidak khianati Muhyiddin, Bersatu - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

UMNO tidak khianati Muhyiddin, Bersatu – Khaled Nordin

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, tiada istilah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhianati UMNO yang menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden UMNO itu berkata, situasi itu berbeza dengan tindakan Muhyiddin dan Bersatu yang meninggalkan dan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) tanpa sebab dan alasan jelas.

Katanya, UMNO sebenarnya mempunyai alasan yang jelas untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Pertama, pengisytiharan darurat serta pemandulan Parlimen dan institusi demokrasi yang lain tidak pun menyebabkan usaha memerangi Covid-19 pada ketika itu menjadi lebih baik. Perdana Menteri diharapkan tampil dengan pelan serta strategi baharu yang lebih berkesan, tetapi saranan serta kebimbangan UMNO tidak diendahkan.

“Kedua, kerajaan yang diterajui oleh Muhyiddin sedang dalam kegagalan. Gerakan massa seperti Kerajaan Gagal, Lawan dan Bendera Putih adalah petunjuk jelas dan kuat daripada masyarakat awam dan UMNO tidak pun memulakan atau terlibat dalam semua itu,” katanya dalam kenyataan.

Namun, katanya, memandangkan UMNO juga berada dalam kerajaan PN di bawah Muhyiddin, parti itu turut menerima tempiasnya.

Katanya, jalan paling bertanggungjawab untuk UMNO adalah memberikan teguran, desakan serta pandangan yang selari dengan sentimen serta kekecewaan masyarakat.

“UMNO harus bertindak sebagai instrumen semak dan imbang yang mampu membawa suara masyarakat sekali pun yang demikian itu bermakna UMNO terpaksa untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Ini adalah tindakan berprinsip, bukan pengkhianatan.

“Penarikan sokongan UMNO atas Muhyiddin tidak dilakukan secara mengejut, rahsia atau tidak berasas. Ia sesuatu yang dinyatakan secara terbuka, sejak awal. Malah berulang-ulang kali.

“Malah, UMNO kerap mengingatkan bahawa, sekiranya TSMY (Muhyiddin) tidak melakukan sesuatu untuk memastikan keadaan pulih, UMNO akan berundur.

“Yang jelas, UMNO tidak melakukan semua ini sebagai satu perancangan jahat dan sulit di hotel ibu kota. Ia juga bukan satu tindakan yang dibuat untuk merebut kuasa. Malah, UMNO sehingga menegaskan bahawa yang ditegur dan ditolak, adalah Perdana Menteri. Bukannya keseluruhan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, UMNO adalah parti yang jelas bersungguh-sungguh memerangi pengkhianatan, terutama lompat parti.

“Wakil UMNO yang kini mengusul dan mendesak agar undang-undang antilompat parti serta pilihan raya pecat diperkenal. Jadi, kalau pun ada mangsa pengkhianatan dalam politik tanah air kita, mangsanya adalah UMNO,” katanya.

Khaled juga menyifatkan Muhyiddin sebagai tokoh yang paling banyak menerima dan meraikan pengkhianatan dan pelompat parti.

“Yang peliknya, individu yang sebelum ini menjadi silent mastermind dan punca kejatuhan PH yang dipilih oleh rakyat secara sah, kini mula ke sana ke sini, mencanang bahawa beliau mangsa yang dikhianati UMNO kerana UMNO menarik sokongan ke atas PN dan beliau pun jatuh dari terus menjadi Perdana Menteri.

“Muhyiddin adalah pemangsa, bukan mangsa. Parti Muhyiddin yang banyak menerima mereka yang mengkhianati PKR. Parti Muhyiddin jugalah yang mengalu-alukan mereka yang mengkhianati UMNO. Sehingga kesemuanya dikumpulkan untuk mengkhianati menumbangkan PH.

“Jadi, adalah sangat canggung malah kelakar untuk TSMY kini tampil melaungkan, terutamanya di seluruh pelosok Melaka, bahawa dirinya mangsa pengkhianatan politik,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah mengkhianati sesiapa.

“UMNO hanya melakukan perkara yang perlu untuk memastikan kerajaan tidak dikepalai oleh mereka dengan perwatakan seorang ‘Abah’, tetapi pada dasarnya gagal meyakinkan anak-anaknya bahawa mereka akan selamat, terlindung dan tidak dikecewakan.

“UMNO bukan pengkhianat. UMNO hanya mahukan yang terbaik demi bangsa dan negara. UMNO tidak akan sesekali mengkhianati amanah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.