fbpx

UMNO dengar suara akar umbi – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO terus mendengar suara akar umbi apatah suara rakyat seperti yang tersemat dalam sejarah panjang perjuangannya.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), musuh-musuh UMNO berusaha menamatkan sepenuhnya riwayat parti terbesar orang Melayu itu.

Beliau berkata, perancangan licik itu tidak kesampaian, malah UMNO semakin mara ke hadapan selangkah demi selangkah dan tidak sesekali berganjak daripada kebenaran walau hebat ditekan.

Malah katanya, rahmatnya sangat ketara apabila UMNO semakin berpadu dan Barisan Nasional (BN) kembali diyakini rakyat serta menang besar di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Faktor utama kepada kekuatan dan kebangkitan UMNO itu kerana kemuafakatan para ahlinya di peringkat akar umbi. 

“Sememangnya UMNO milik akar umbi, manakala barisan pimpinannya selaku pemegang amanah. Telah terbukti sinergi ketetapan akar umbi UMNO yang kemudian diterjemahkan pimpinannya adalah tepat. 

“Justeru Presiden UMNO dan barisan pimpinan sedia ada tidak akan sesekali berpaling dan mengabaikan suara akar umbinya.

“Biarlah resmi UMNO ini cuba ‘didalilkan’ sebagai berorientasikan barat selagi tidak menyanggah hukum Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid turut memuat naik sama gambarnya bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dipercayai diambil selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada September 2019 lalu. 

Disember lepas, Abdul Hadi mendakwa majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyokong penuh kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang terjalin antara parti itu dengan Pas sekali gus yakin usaha rundingan kerusi dengan UMNO mampu dicapai bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

“Saya difahamkan majoriti ahli MT mahu bekerjasama. 

“Jadi UMNO kena ikut pemimpinlah iaitu MT bukan ikut bahagian-bahagian kerana majoriti kepemimpinan mahu bersama untuk kita bersatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI