UMNO bangkit semula bukan kerana 'ubatan mujarab' pembangkang

UMNO bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ Pas – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kebangkitan semula UMNO ketika ini selepas mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana ‘ubatan mujarab’ dari Pas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya, UMNO bangkit kerana dukungan orang Melayu terhadap parti itu dan kerana prestasi buruk kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi mereka yang menggelar UMNO dengan pelbagai gelar, itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun. UMNO masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia. Kami bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ Pas.

“Tetapi kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO dan kerana buruknya prestasi kerajaan PH dan PN,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Semalam Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir pemimpin UMNO yang seolah-olah lupa diri walaupun Pas bertungkus-lumus menyelamatkan parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Abdul Hadi turut menyifatkan tindakan UMNO sebagai tidak bermoral kerana mereka bersama-sama terlibat dalam gagasan Muafakat Nasional (MN).

“Pas bukan mahu mengajar itik berenang, kita cuma nak selamatkan itik yang patah kaki dalam PRU-14.

“Tetapi, malangnya apabila kaki sudah sembuh, itik itu mahu berenang sendiri dan tinggalkan kita. Benda ini tidak bermoral,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, semalam.

Dalam pada itu, tegas Mohamad, tanpa UMNO, Pas juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan hari ini.

“Pas tahu, tanpa UMNO ia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan Persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika Pas berasakan Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya. Biarlah rakyat juga memutuskan sama ada Pas dan PN itu relevan lagikah atau tidak,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BN menegaskan, pilihan raya itu diadakan atas pelbagai sebab strategik dan bukan kerana ia kehendak ‘kluster’ tertentu dalam UMNO.

Ujar beliau, Menteri Besar Johor mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baharu dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.

“Beliau diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, sesuai keadaan dan keperluan, bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah. Untuk makluman, istilah-istilah itu hanya ciptaan musuh UMNO sahaja.

“UMNO bukan seperti parti lain, tiada ‘wala’ kepada Presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya. Ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja. – UTUSAN MOHAMAD HASAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya