Tragedi Highland Towers boleh berulang - Utusan Malaysia

Tragedi Highland Towers boleh berulang

Insiden lima kenderaan awam rosak dalam kejadian tanah mendap dan runtuhan berhampiran longkang di deretan kedai di Lestari Perdana di Seri Kembangan, kelmarin membuktikan tragedi Highland Towers pada 1993 boleh berulang. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tragedi Highland Towers pada 1993 yang me­ngorbankan 48 nyawa mungkin berulang jika semakin banyak tanah runtuh berlaku di kawasan perumahan di sekitar Lembah Klang, terutamanya selepas dilanda banjir buruk bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Persatuan Pen­cinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, tragedi itu tidak menjadi pe­ngajaran dan seolah-olah sudah dilupakan apabila tanah runtuh terus berlaku di kawasan-kawasan perumahan.

Katanya, selepas hampir 30 tahun tragedi itu berlaku, sepatutnya sudah ada panduan dan peraturan tertentu sekiranya pembangunan dibuat di cerun bukit dan kawasan yang mempunyai aliran air bawah tanah dan jenis tanah yang longgar.

“Segala peraturan dan faktor rekabentuk, kejuruteraan, geologi dan hidrologi serta lanskap perlu dilihat secara bersepadu sebelum pembangunan dilaksanakan dengan teratur.

“Maknanya, pergerakan air bawah tanah, jenis tanah dan struktur perlu juga dilihat. Keada­an tertentu aliran air tidak boleh dihalang dan perkiraan perlu dibuat dari segi air curahan hujan, kemampuan tanah menampung air hujan dan aliran keluar ke sungai,” katanya.

Bulan lalu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendedahkan, sebanyak 46 lokasi tanah runtuh dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan sembilan daripadanya pada tahap kritikal.

Berdasarkan laporan kejadian tanah runtuh Monsun Timur Laut, sembilan lokasi tanah runtuh itu membabitkan dua lokasi iaitu Kampung Palimbayan di Sungai Penchala dan Taman Duta di Seri Duta.

Selebihnya adalah di Selangor iaitu Taman Nusa, Subang; Apartment Teratai, Selayang; Jalan Bunga Anggerik, Taman Melawati; Jalan Melati 7, Taman Seri Melati; Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang; Jalan Saidina Hamzah, Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang; dan Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar, Klang.

Kesemua kawasan kritikal itu termasuk 36 lokasi tanah runtuh yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan. Malah JMG telah membuat penilaian serta menjalankan pemantauan berterusan di tapak kejadian tanah runtuh berkenaan.

Ahmad berkata, peristiwa 11 Disember 1993 yang mera­gut 48 nyawa itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Kejadian Highland Towers masih diingati dan terus tinggal sejarah yang boleh diceritakan berulang kali apabila berlaku tanah runtuh atau tanah mendap berlaku di kawasan perumahan.

“Namun, sejauh mana peristiwa itu menjadi pengajaran masih menjadi persoalan,” katanya.

Selain itu, 10 lagi tapak kejadian tanah runtuh sedang dalam tindakan secara berpe­ringkat mengikut keutamaan, antaranya membabitkan kawasan di Taman Keramat dan Jalan Kia Peng.

Di Selangor pula melibatkan antaranya Taman Zooview; Riverdale Park Apartment, Ampang; Jalan Wangsa 1; Taman Melur, Ampang; Kampung Sungai Kelambu, Banting; Ukay Perdana, Ulu Klang; Jalan Selayang-Rawang; dan Jalan Banglo, Batu Arang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN