Tolak pelawaan STAR, Peter tetap tubuh parti baharu - Utusan Malaysia

Tolak pelawaan STAR, Peter tetap tubuh parti baharu

PETER Anthony ketika sidang akhbar mengumumkan keluar Warisan di Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony menolak pelawaan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan meneruskan hala tuju politiknya menerusi parti baharu.

Demikian maklum balas Peter terhadap pelawaan Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan untuk beliau dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim menyertai STAR.

“Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kepada kemajuan Sabah.

“Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah membuat pelawaan kepada Peter dan Juil untuk menyertai STAR selepas kedua-dua ADUN Parti Warisan (Warisan) itu keluar daripada parti pada 28 Disember tahun lalu.

Peter yang juga bekas Naib Presiden Warisan mengalu-alukan kesatuan pemimpin Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan percaya gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat Sabah seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, usaha yang diambil bagi menubuhkan parti baharu itu sebagai permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing-masing.

“Kami akan terus berbincang untuk mendapatkan satu penyelesaian bagi menyatukan pemimpin politik KDMR serta semua pemimpin di Sabah,” katanya.

Menurut beliau, sudah sampai masanya untuk semua pemimpin bersatu dalam satu gabungan yang fokus kepada kemajuan Sabah.

“Marilah kita berganding bahu…yang lepas tu lepaslah. Fokus kepada kemajuan Sabah. Kita berusaha dan berdoa agar menerusi `pisompuruan’ (kesatuan), Sabah akan maju jaya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya