PADANG TERAP: Walaupun 28 tahun berkhidmat sebagai kerani di sebuah agensi pasukan keselamatan, seorang wanita tidak menyesal meninggalkan kerjaya di dalam bilik berhawa dingin itu untuk menjadi petani dan penternak.
Rosnah Musa, 51, dari Kampung Bukit Damar, Naka, di sini menjinakkan diri dalam bidang tersebut dengan mengusahakan kebun getah seluas lima hektar di kampungnya itu pada 2015 dan kini semakin mengorak langkah bergelar usahawanita berjaya dalam bidang pertanian dan penternakan.
“Pada awalnya saya kekok melakukan kerja-kerja di kebun getah tetapi sebagai anak kampung semuanya itu sudah dilalui hasil tunjuk ajar arwah bapa, Musa Awang Kechik, selain dorongan suami, Jafri Jusoh, 54, sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Rosnah yang mempunyai empat anak berusia antara 12 hingga 27 tahun memberitahu, pada masa sama, dia juga membeli seluas 25 hektar kebun getah dan tanah terbiar untuk mempelbagaikan kegiatan pertanian dan penternakan.
Jelasnya, kawasan tanah tersebut diusahakan kolam ternakan ikan, menternak lembu, rusa, ayam hutan, tanaman nanas dan pisang.
“Pada masa ini saya mempunyai 13 kolam ikan dengan setiap sebuah berkeluasan kira-kira 16 meter lebar dan 40 meter panjang serta antara jenis ikan yang diternak ialah keli, patin, pacu, tilapia, lampam dan puyu Siam.
“Hasil ternakan itu saya menjualnya secara segar kepada pemborong, selain dibuat pekasam. Hasil pekasam itu sudah dipasarkan ke seluruh Semenanjung,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, dia juga menternak 80 ekor lembu dan 15 ekor rusa di kawasan kebun getah tersebut dengan dibantu seramai 12 pekerja.
Menurutnya, permintaan daging lembu dan rusa didapati semakin tinggi di pasaran.
“Lembu dan rusa yang diternak itu dilepaskan di kebun getah yang dipenuhi rumput dan saya dapat mengurangkan kos membeli makanan ternakan yang semakin mahal,” katanya. – UTUSAN ONLINE