Tiga lagi kluster libatkan pelajar asrama dilaporkan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Tiga lagi kluster libatkan pelajar asrama dilaporkan di Negeri Sembilan

S. VEERAPAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga lagi kluster jangkitan Covid-19 yang melibatkan pelajar berasrama telah dikesan di Negeri Sembilan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, tiga kluster melibatkan instutusi pendidikan itu ialah Kluster Jalan Pantai Cunningham di Port Dickson, Kluster Paya Utama juga di Port Dickson dan Kluster Bukit Merbah di daerah ini.

Menurut beliau, bagi Kluster Jalan Pantai Cunningham, ia mula dilaporkan pada 19 Januari lalu dan melibatkan pelajar asrama sebuah sekolah di bandar Port Dickson.

Jelas beliau, sehingga hari ini sebanyak 11 kes telah dilaporkan dalam kluster berkenaan yang melibatkan pelajar asrama di sekolah terbabit dan tiada kes pelajar luar atau dalam kalangan guru. 

“Kluster ini bermula dengan saringan seorang pelajar lelaki yang bergejala di sekolah terbabit yang tinggal di asrama pada 19 Januari. 

“Sehingga pukul 11 pagi tadi, seramai 116 individu telah disaring dan 11 orang dikesan positif Covid-19 manakala 83 orang dikesan negatif dan 22 orang lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Veerapan, bagi Kluster Paya Utama pula, sebanyak 22 kes telah dilaporkan melibatkan pelajar asrama di sebuah kolej di Port Dickson.

Jelasnya, tiada kes positif melibatkan pelajar tinggal di luar atau dalam kalangan pensyarah.

“Kluster ini bermula dengan saringan seorang pelajar lelaki yang yang tinggal di asrama dan bergejala. Sehingga pukul 11 pagi tadi, seramai 122 kontak rapat pelajar asrama telah disaring.

“Hasil saringan berkenaan, 22 kes telah dikesan positif Covid-19 di mana kesemuanya tinggal di asrama. Seramai 99 lagi dikesan negatif Covid-19 dan seorang lagi masih menunggu keputusan,” kata beliau.

Bagi Kluster Bukit Merbah pula, ia melibatkan pelajar sebuah sekolah di daerah ini dan sehingga hari ini sebanyak 38 kes yang telah disahkan positif Covid-19.

“Jangkitan bermula dengan saringan bergejala seorang pelajar yang telah mengalami gejala demam. Seramai 104 orang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan semuanya adalah daripada pelajar di dalam asrama sekolah tersebut.

“Sehingga hari ini, sebanyak 137 saringan telah dijalankan iaitu dalam kalangan pelajar asrama sekolah berkenaan dan 38 orang telah di dapati positif Covid-19,” katanya.

Semalam Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau telah diumumkan membabitkan sebuah sekolah tahfiz di Rembau iaitu Sekolah Tinggi Islam As Sofa.

Sebelum itu dua kluster pendidikan juga telah dilaporkan di negeri ini iaitu Kluster Jalan Sikamat yang membabitkan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir di sini dan Kluster Jalan Ban Aik 2 yang melibatkan Sekolah Menengah Agama Nilai. 

Sementara itu, Veerapan berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 340 kes baharu positif Covid-18 telah dilaporkan di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya