Tidak ada undang-undang benarkan pembinaan dalam gua batu kapur - Utusan Malaysia

Tidak ada undang-undang benarkan pembinaan dalam gua batu kapur

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada undang-undang membenarkan pembinaan termasuk rumah ibadah di dalam gua batu kapur kerana ia membahayakan nyawa dan berisiko untuk runtuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, apa jua pendudukan, penempatan atau aktiviti tanpa kebenaran di dalam gua batu kapur adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Menurutnya, pembinaan rumah ibadat di dalam gua batu kapur terdedah kepada kemungkinan berlaku runtuhan ekoran struktur dalaman telah diusik selain sensitif kepada perubahan cuaca.

“Ancaman ini bukan sahaja kepada pengusaha, tetapi juga kepada pengunjung memandangkan selain menjadi lokasi kegiatan keagamaan, kawasan terbabit juga menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi dan pelancongan.

“Ini bukan soal diskriminasi mahupun soal agama ia adalah soal keselamatan di mana kerajaan negeri bertanggungjawab ke atas itu.

“Jadi saya minta tolong jangan ada sesiapa pun mengambil kesempatan mengatakan itu tak kena kerana kita lebih utamakan keselamatan selain turut bertanggungjawab,” katanya selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Banggunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mendengar taklimat daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung penghantaran notis kepada 14 pengusaha rumah ibadat dalam kawasan gua atas tanah kerajaan sekitar Mukim Sungai Raya dan Mukim Hulu Kinta.

Menurut Saarani, PTG telah memaklumkan pengeluaran notis mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kepada kesemua pengusaha rumah ibadat berkenaan.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini juga telah mengambil ketetapan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menanggani isu tersebut.

“Antaranya adalah menentukan status untuk 14 rumah ibadat berkenaan yang terletak di atas tanah kerajaan sama ada melalui kaedah perizaban, Lesen Pendudukan Sementara atau pajakan tanah rizab.

“Jawatankuasa khas ini juga akan memperincikan penetapan syarat-syarat yang perlu dipatuhi berdasarkan status kedudukan yang ditentukan selain menentukan mekanisme kawalan terhadap sebarang struktur dan binaan yang perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN