Anak Kedah disaran bantu semula negeri

Anak Kedah disaran bantu semula negeri

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah mengurniakan Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan kepada Mohd. Nizam Jaafar sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-83 di Istana Anak Bukit, Alor Setar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyarankan anak Kedah yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk tampil menyumbang kepada negeri itu.

Baginda bertitah, sumbangan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti zakat, sedekah, wakaf, pelaburan, tenaga kepakaran mahupun inisiatif sosial demi kemajuan negeri.

“Beta percaya, jika setiap anak Kedah yang berjaya memberikan kembali kepada negeri, maka negeri ini akan terus makmur, berdaya saing dan disegani. Inilah semangat Kedah Sejahtera yang bukan sekadar slogan tetapi satu usaha bersama,” titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-83 di Istana Anak Bukit, di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berangkat sama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.

Tambah Sultan Sallehuddin, kejayaan setiap individu tidak hanya dirai dan dinikmati secara peribadi semata-mata, sebaliknya dijadikan sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada negeri itu.

Dalam titah berkenaan, ba­gin­da menzahirkan rasa syukur dengan prestasi pelaburan di Kedah, yang terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Titah baginda, hal itu jelas menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap potensi Kedah, sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan stabil.

Namun, Sultan Sallehuddin menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi negeri mestilah bersifat menyeluruh, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Beta ingin melihat tumpuan strategik diberikan kepada sektor-sektor berimpak tinggi, yang bukan sahaja menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, bahkan membawa kesan limpahan ekonomi yang besar kepada negeri,” titah baginda.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar mendahului senarai 235 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena ulang tahun itu.

Mohd. Nizam yang dilantik pada 31 Januari lalu menjadi penerima tunggal Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim pula dianugerahkan Orang Besar Lapan yang masing-ma­sing membawa gelaran Dato’ Seri Indera Setia dan Dato’ Seri Derma Wangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini