Tiada kompromi pengamal perubatan swasta langgar SOP, jual sijil vaksin palsu - Utusan Malaysia

Tiada kompromi pengamal perubatan swasta langgar SOP, jual sijil vaksin palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan tidak dikompromi sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan polisi ditetapkan Kementerian Kesihatan.

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) mengambil maklum beberapa laporan media berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu yang didakwa dilakukan pengamal perubatan swasta (PPS).

Dalam satu kenyataan, ProtectHealth menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa segera sekiranya mereka mengesyaki sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Ini boleh bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin.

“ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya di sini hari ini.

ProtectHealth berkata, semua PPS di bawahnya adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan  Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah Kementerian Kesihatan.

Katanya, ini adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO Kesihatan adalah sahih dan termaktub dalam akta berkaitan.

Selain itu katanya, PPS dan NGO Kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi dan menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan Kementerian Kesihatan.

“Bagi memastikan PPS dan NGO Kesihatan di bawah ProtectHealth melaksanakan  perkhidmatan yang berkualiti dan mengikut SOP ditetapkan, audit rawak ke atas PPS dilakukan secara berkala.

“Sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, ProtectHealth akan mengambil tindakan yang perlu dan mungkin menggantung PPS dan NGO Kesihatan daripada menjalankan vaksinasi dalam PICK,” katanya.

Jelasnya, pasukan audit perubatan kami turut menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau ProtectHealth.

ProtectHealth memaklumkan, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO Kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera.

Katanya, semua vaksinasi direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri  penerima dan pemberi vaksin.

“ProtectHealth tidak bertolak ansur sekiranya terdapat PPS dan NGO Kesihatan di bawah kami  didapati mempunyai sebarang salah laku yang berkaitan dengan aktiviti seumpama ini dan akan memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa sekiranya PPS dan NGO Kesihatan kami didapati terlibat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN