IPOH: Empat individu dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam, setakat semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan membawa kanak-kanak dalam upacara tersebut.
“SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan jelas menyatakan hanya mereka berusia 18 tahun ke atas dibenarkan turut serta, tetapi masih ada pihak yang berdegil membawa kanak-kanak sepanjang perayaan itu berlangsung.
“Walaupun kanak-kanak itu bukan terlibat secara langsung dalam upacara sembahyang tetapi penganut yang ada berhampiran upacara tersebut juga perlu mematuhi SOP,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, Sempena perayaan Thaipusam yang berakhir Rabu ini, terdapat beberapa jalan di Ipoh dan Sungai Siput ditutup atau dilencongkan bagi memudahkan proses perarakan pedati.
Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan antara SOP perayaan Thaipusam ialah hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati dibenarkan pada Thaipusam kali ini. – UTUSAN ONLINE