Terlalu awal komen isu calon MB - Maszlee - Utusan Malaysia

Terlalu awal komen isu calon MB – Maszlee

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik enggan memberi sebarang komen berhubung khabar angin yang mengatakan beliau merupakan calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Menteri Pendidikan itu sebaliknya berkata, perkara berkaitan calon Menteri Besar masih terlalu awal untuk dibincangkan kerana PRN Johor belum berlangsung.

“Terlalu awal untuk bicara isu Menteri Besar. Fokus untuk memenangi PRN dahulu. Pelantikan Menteri Besar adalah kuasa mutlak Tuanku Sultan (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar),” tulisnya ringkas dalam laman sosial Twitter rasmi miliknya.

Baru-baru ini terdapat khabar angin mengatakan Maszlee bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu sekiranya PH berjaya menubuhkan kerajaan dalam PRN akan datang.

Tambah Maszlee dalam akaun twitternya, beliau tiada maklumat berhubung perkara itu sebaliknya hanya akan menurut arahan kepimpinan parti.

“Saya tiada info tentang apa yang diperkatakan (calon Menteri Besar). Saya hanya menurut arahan parti apapun keputusan kepimpinan,” jelasnya.

Pada 27 November tahun lalu, Maszlee mengumumkan menyertai PKR ketika beliau menghadiri program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, Kluang.

Beliau menyifatkan penyertaan dalam PKR itu ibarat sirih pulang ke gagang apabila mendedahkan pernah didaftarkan sebagai ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada 2017.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya