Tarikh PRN Johor dibincang pada 9 Februari - Utusan Malaysia

Tarikh PRN Johor dibincang pada 9 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti Hari Penamaan Calon dan Hari Pengundian.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selain itu pihaknya akan membincangkan tarikh writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Katanya lagi, SPR secara rasminya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal ke-14 pada 23 Januari sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

“Sehubungan itu, satu mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya DUN Johor Ke-15 akan diadakan pada 9 Februari. Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut berlangsung.

PRN Johor diadakan selepas DUN dibubarkan selepas diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk HasnI Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya