KEMAMAN: Seorang warga emas yang terkenal dengan julukan ‘pejalan kaki solo terjauh’ nyaris maut selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika mendaki Bukit Pejajat, Telaga Simpul di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Sabri Ali, 60, cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas tali yang digunakan untuk menuruni bukit berbatu itu terputus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, mangsa yang merupakan pemegang rekod Malaysia Book of Records (MBR) dikatakan keluar melakukan aktiviti itu secara berseorangan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa bernasib baik kerana ada pendaki lain ketika kemalangan itu berlaku dan mereka segera menghubungi pasukan keselamatan.
“Operasi selama sejam yang digerakkan dengan kekuatan 17 anggota dan pegawai dari BBP Chukai dan Kemaman itu berdepan kesukaran kerana keadaan bukit yang berbatu serta curam di samping laut bergelora.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pihak bomba sebelum diusung ke bot dengan melalui lereng bukit berbatu sejauh 100 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Mohd. Zailani, Sabri kemudian dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut dengan menaiki ambulans.
Sabri yang berasal dari Kampung Bukit Kuang di sini mendapat pengiktirafan MBR selepas berjaya menamatkan perjalanan sejauh 2,109.17 kilometer dengan melalui 49 lokasi di samping merentasi 14 negeri pada 2016. – UTUSAN










