REMBAU: Taktik seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorokkan tujuh ketulan mampat tanaman kering disyaki dadah jenis kanabis di dalam reban ayam terbongkar dalam satu serbuan Op Tapis di kebun durian di Legong Jaya, Kota, di sini pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama hampir seminggu, sepasukan polis melakukan serbuan pada pukul 12 tengah hari dan suspek berusia 29 tahun berasal dari Acheh, Indonesia berjaya ditangkap polis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri bersama 21 biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang tersebut di bawah meja di pondok kebun durian berkenaan.
“Tujuh ketulan mampat dipercayai dadah jenis kanabis dengan berat kira-kira tujuh kilogram ditemukan dalam bekas yang diletakkan di dalam reban ayam yang terletak berhampiran pondok suspek.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek menyatakan dia baharu sahaja bekerja di kebun berkenaan sebagai penjaga sejak lapan bulan lalu.
“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung sumber dadah berkenaan, modus operandi serta pasarannya. Kami percaya suspek ini tidak bergerak sendiri dan mempunyai sindiketnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini hari ini.
Hazri berkata, susulan penemuan dadah mampat bernilai lebih RM10,000 berkenaan, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian urin yang dilakukan bakal berhadapan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurut beliau, dianggarkan dadah berkenaan mampu dipasarkan kepada lebih 700 orang individu.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 31 Januari dan turut disiasat di bawah dua kesalahan lain iaitu Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bagi kesalahan kemasukan dadah ke dalam badan serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 bagi kesalahan memiliki senjata buatan sendiri.
“Senjata berkenaan didakwa suspek digunakan untuk menembak musuh tanaman seperti tupai,” katanya.
Sementara itu, menurut Hazri, seramai 13 individu termasuk seorang wanita berusia 40 hingga 55 tahun ditahan dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di sekitar daerah ini dari 21 sehingga 23 Januari lalu. -UTUSAN ONLINE