LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganggarkan kira-kira 55,000 orang pengunjung akan memasuki pulau peranginan ini sempena cuti Tahun Baharu Cina pada awal bulan hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, LADA menjangkakan purata kemasukan pelancong di pulau ini sebanyak 9,200 orang sehari bermula pada 1 hingga 6 Februari.
“Anggaran ini adalah berdasarkan 30 hingga 35 penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
“Selain itu, ada lapan perjalanan feri sehari ke Langkawi melalui pintu masuk Terminal Feri Kuala Perlis dan Terminal Feri Kuala Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, Langkawi menerima 147,773 orang pengunjung sepanjang Januari tahun ini sehingga semalam.
Nasaruddin berkata, LADA menyasarkan kedatangan pengunjung sebanyak 185,000 sehingga hujung bulan ini.
Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 38 peratus kemasukan pengunjung berbanding 297,919 orang pengunjung yang direkodkan memasuki Langkawi pada Disember 2021.
Beliau turut menyatakan, tiada prosedur operasi standard (SOP) tambahan akan dibuat bagi mengekang penularan Covid-19 dan varian Omicron sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, jelasnya, SOP sedia ada yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan adalah memadai bagi mengawal penularan terutamanya yang melibatkan kes import luar negara adalah memadai.
Pada masa ini, pelancong antarabangsa yang tiba di sini melalui gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi perlu menjalani ujian Ujian Pantas – Tindak Balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) pada hari ketibaan, hari ketiga dan kelima, di samping ujian kendiri pada hari kedua dan keempat.
“SOP sedia ada ini diharapkan dapat membantu mengekang penularan varian Omicron bagi mengelakkan industri pelancongan negara terutamanya di Langkawi lumpuh semula di mana pada masa ini industri pelancongan masih berada di fasa pemulihan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










