Poklip sebenarnya suka melihat gambar-gambar rakan-rakan artis yang berkongsi kejayaan mereka. Contohnya baru-baru ini, Wanna Ali dan Wani Kayrie. Keduanya berkongsi kejayaan membeli kereta.
Bukan sebarang kereta. Harga mencecah ratusan ribu ringgit. Seronok melihat kejayaan mereka. Poklip tumpang bangga. Kita pun tahu, bukan mudah untuk mereka mengecapi kejayaan itu.
Contohnya, Wani. Dia bermula dalam dunia seni sejak kecil lagi. Macam-macam sudah dilalui. Tangga demi tangga dia daki untuk membuktikan keberadaannya dalam industri bukan sesuatu yang sia-sia.
Malah, bukan mudah juga untuk dia meraih populariti. Lebih-lebih lagi kehadiran penyanyi baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Jadi susah payahnya akhirnya berbalas senyuman.
Begitu juga Wanna. Silap besar jika ada yang cakap, dia anak produser bolehlah. Hello! Untuk dia berjaya pun bukan senang. Bukan sebab emak dia seorang penerbit popular, dia senang-senang boleh berjaya.
Dia juga sama seperti yang lain. Perlu membuktikan bakat dan kemampuan. Jadilah anak penerbit pun, kalau kayu lakonan tetap tak jalan juga. Tetapi Wanna lain, dia belajar dan terus belajar.
Poklip juga bangga melihat anak-anak muda lain. Sampai Poklip tanya diri sendiri, di usia itu apa kejayaan kau. Tetapi Alhamdulillah, hidup Poklip baik-baik sahaja. Kejayaan di mata kita tak sama dengan kejayaan di mata orang lain. Gitu!