Suhaizan serah warta kerajaan DUN bubar kepada SPR - Utusan Malaysia

Suhaizan serah warta kerajaan DUN bubar kepada SPR

SUHAIZAN Kaiat (kiri) menyerahkan warta kerajaan pemasyhuran memansuhkan dewan negeri johor yang ke-14 kepada Nor Nekman Jaimon di Pejabat Speaker Dewan Negeri Johor, Kota Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menyerahkan warta kerajaan mengenai pemasyhuran memansuhkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, hari ini.

Suhaizan berkata, dengan penyerahan warta kerajaan itu membolehkan SPR melaksanakan proses seterusnya iaitu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh 60 hari.

“Saya telah menerima surat pemakluman daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani pada pukul 10 pagi mengenai pemansuhan Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-14 pada 22 Januari iaitu semalam.

“Pemasyhuran ini telah diwartakan dan telah diserahkan warta kerajaan mengenai pemasyhuran memansuhkan Dewan Undangan Negeri Johor kepada SPR pada petang ini.

“SPR akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan masa yang sesuai serta tarikh penting dalam proses PRN seperti penamaan calon dan mengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Warta kerajaan itu memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mempunyai peruntukan untuk membubarkan DUN Johor yang ke-14 mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895.

Terdahulu, Suhaizan menyerahkan warta kerajaan Pemasyhuran Pembubaran DUN Johor kepada Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon.

Semalam, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ia selepas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN di Istana Bukit Serene, di sini, pada pukul 5 petang, semalam.

Dalam pada itu, Suhaizan menjelaskan bahawa beliau masih menjalankan tugas sebagai Speaker DUN Johor sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk dan Speaker DUN yang baharu dilantik.

“Saya masih lagi Speaker DUN Johor sehinggalah kerajaan negeri baharu dibentuk dan Speaker baharu dilantik,” katanya.

Sementara itu, Nor Nekman memaklumkan bahawa SPR Johor akan merujuk ibu pejabatnya sebelum membuat persediaan termasuk mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan PRN Johor yang ke-15.

“Setakat ini kita masih belum ada tarikh bila mesyuarat khas berkenaan. SPR Johor akan merujuk ibu pejabat dahulu termasuk memaklumkan penerimaan Warta Pemasyhuran Pembubaran DUN Johor.

“Mesyuarat membincangkan urusan PRN Johor yang ke-15, terpulang kepada ibu pejabat bagi menentukan tarikhnya. Pengumuman akan dibuat nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN