Sudah beri amaran, peniaga pembeli jalanan akan disaman - JPJ  

Sudah beri amaran, peniaga, pembeli jalanan akan disaman – JPJ  

SEBAHAGIAN penjaja jalanan diberikan amaran oleh pihak JPJ dalam Program Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah di sini sebelum tindakan saman dikenakan selepas ini. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bertegas mengenakan tindakan saman terhadap peniaga dan pembeli yang terlibat dalam aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat dan jalan raya di negeri ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tiada lagi amaran selepas ini memandangkan perbuatan tersebut boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya selain program advokasi terhadap peniaga atau penjaja jalanan telah diadakan sebelum ini bagi memberi peringatan. 

“Ini program advokasi dan amaran terakhir kami, setakat ini, tiada lagi laporan kemalangan melibatkan penjaja jalanan namun kami terima rungutan orang awam yang mana kehadiran penjaja ini mengganggu aliran trafik. 

“Ia bukan saja berlaku di Seremban tetapi juga di Port Dickson terutama di lokasi lampu isyarat yang banyak kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah di sini petang tadi. 

Hanif Yusabra berkata, merujuk kepada Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, tiada sesiapa pun boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau pun barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam atau di atas kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya. 

Tambah beliau, bagi Kaedah 10A(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 pula menyatakan tiada sesiapa pun yang berada di dalam atau di atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana orang di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya. 

“Bagi kesalahan tersebut, penjual atau penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat 10 lokasi utama persimpangan lampu isyarat yang menjadi tumpuan penjaja jalanan menjalankan perniagaan mereka di sekitar daerah ini.

Sehubungan itu, Hanif Yusabra berkata, JPJ menyeru kepada penjaja jalanan agar merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan nasihat berhubung lokasi dan syarat lesen yang berkaitan bagi tujuan menjalankan perniagaan mengikut peraturan yang betul.

“Segala aspek perundangan perlu dipatuhi agar tidak menimbulkan kesulitan kepada orang ramai. JPJ memandang serius kesalahan yang melibatkan penjaja jalanan. Beberapa siri advokasi yang dijalankan sebelum ini diharap dapat menjadi satu panduan dan peringatan,” katanya. 

Tambah beliau, segala aspek perundangan perlu dipatuhi semua pihak agar tidak menimbulkan kesulitan kepada orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya