Suami tergamak tinggalkan isteri, 5 anak elak ditahan polis - Utusan Malaysia

Suami tergamak tinggalkan isteri, 5 anak elak ditahan polis

RAMLI Mohamed Yoosuf Ramli menunjukkan gambar dua suspek yang diburu polis setelah terlibat dalam kes pecah kereta dan curi barang di Cameron Highlands dalam sidang akhbar di IPD Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Seorang bapa tergamak meninggalkan isteri dan lima orang anaknya bagi mengelak ditahan polis selepas terlibat dalam tujuh kejadian pecah cermin kereta di sini dalam tempoh tiga hari sejak Khamis hingga Sabtu lalu.

Sehubungan itu, polis sedang memburu suspek utama kes itu, Muhammad Zaidi Zainal, 38, manakala isteri dan seorang anak lelakinya berada dalam tahanan selepas ditangkap dalam serbuan di sekitar Brinchang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis turut memburu seorang lagi suspek yang merupakan rakan suspek utama, dikenali dengan nama panggilan Faiz, dipercayai melarikan diri bersama isterinya.

“Suspek diminta menghubungi mana-mana balai dan menyerah diri sebelum dia ditangkap. Polis telah menemukan kereta suspek dengan pelbagai perkakas dan barang curi yang telah diakui oleh isteri suspek sendiri.

“Seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Faiz juga diminta tampil menyerah diri di balai berdekatan sebelum menjadi buruan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands hari ini.

Ramli berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis Kedah untuk mengesan kedua-dua suspek dari Sungai Petani, Kedah itu selain dipercayai mereka juga terlibat dalam kes sama di sana. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN