Sindiket judi online tumpas, lebih 10,000 orang diberkas - Utusan Malaysia

Sindiket judi online tumpas, lebih 10,000 orang diberkas

ARJUNAIDI Mohamed (tengah) menunjukkan sebahagian daripada peralatan komputer dan wang tunai digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas dalam sidang akhbar di IPK Selangor di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sindiket perjudian dalam talian yang menggunakan laman seperti MQQ88.com serta aplikasi Kiss88, Pussy888, Mega888, dan Roulette tumpas selepas Kontinjen Polis Selangor menangkap seramai 10,649 orang termasuk warga asing.

Tangkapan kesemua suspek itu dibuat menerusi pelbagai siri serbuan sepanjang 2020 hingga 2021 dalam Operasi (Op) Dadu bagi membanteras kegiatan judi dalam talian di seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut, seramai 5,792 orang ditahan kerana terlibat dengan kategori judi dalam talian serta 4,857 lagi pula terbabit dengan Loteri Awam Tanpa Lesen dan sebanyak 92 peratus daripada 6,432 kertas siasatan dibuka sudan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan judi di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Susulan itu, satu Op Khas Ketua Polis Selangor selama tiga hari bermula Jumaat lepas diadakan dengan serbuan ke atas lima premis di sekitar Klang dan Kajang membabitkan tangkapan seramai 89 orang di kawasan berkenaan.

Operasi tersebut melibatkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Balai dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah bagi menjalankan risikan, maklumat dan serbuan melibatkan semua aktiviti perjudian di seluruh Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hasil tangkapan, beberapa peralatan perjudian terdiri daripada 77 unit komputer, 182 komputer riba, 33 telefon bimbit, tujuh modem dan enam router serta wang tunai berjumlah RM109,879 dirampas.

“Terdapat beberapa kes yang menarik perhatian iaitu serbuan pertama melibatkan tangkapan ‘Calling Centre’ yang menganjur dan mempromosikan perjudian dalam talian di Klang dan tiga premis menjalankan aktiviti perjudian di sekitar Klang Selatan dan Kajang.

“Bagi serbuan pertama ia melibatkan tangkapan di dua premis di sekitar Klang yang menjalankan aktiviti mempromosi serta menganjurkan perjudian dalam talian. Sindiket mempromosi laman MQQ88.com menggunakan aplikasi media sosial seperti Wechat, Facebook dan Tik Tok,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Jelas beliau, sindiket dikesan mempunyai pemain daripada Malaysia dan Indonesia dengan menggunakan pelbagai akaun bank tempatan dan luar negara bagi tujuan transaksi kewangan perjudian.

Berdasarkan rekod jumlah transaksi perjudian yang dicatatkan oleh sindiket ini mencecah hampir RM5 juta sebulan dengan jumlah pemain melebihi 3,000 orang.

Dalam serbuan tersebut, 10 ahli sindiket terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita termasuk seorang warga asing ditahan serta 21 komputer riba, dua modem, empat router dan wang tunai berjumlah RM100,000 dirampas.

“Kesemua suspek berusia di antara lingkungan 20-an hingga 40-an dan mereka semua dibayar gaji antara RM 2,000 hingga RM 3,000 sebulan setiap orang berdasarkan jawatan dan pengalaman masing-masing,” jelasnya.

Arjunaidi menambah, serbuan turut dilakukan di Klang dan Kajang apabila tiga premis di serbu dan polis menahan 18 orang terdiri daripada 13 pemain dan lima penjaga premis.

“Semasa serbuan dijalankan polis mendapati pemain sedang melayari laman web perjudian dengan menggunakan komputer yang ada di dalam premis. 

“Dalam serbuan ini, polis merampas sebanyak 59 komputer, lima modem, dua router  dan wang tunai berjumlah RM 3,210,” katanya.

Ujarnya lagi, semua premis perjudian itu dikawal melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk, manakala pintu premis dikunci dengan menggunakan pintu keselamatan yang boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh.

Kesemua suspek ditahan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya