GEORGETOWN: Sindiket perjudian online yang menjadikan dua unit kondominium mewah sebagai pusat operasi tumpas apabila 23 pekerja sindiket itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di negeri ini Jumaat lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, menerusi serbuan pertama di sebuah kondominium mewah yang disewa di kawasan Persiaran Gurney kira-kira pukul 5.25 petang, seramai 13 individu iaitu 10 lelaki dan tiga wanita berumur antara 19 hingga 31 tahun ditahan.
Menurut beliau, serbuan itu membawa kepada penahanan 10 lagi individu iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 16 hingga 27 tahun di sebuah lagi kondominium mewah di Jalan Kelawei.
“Kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen mempromosikan sindiket perjudian online dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
“Mereka turut diberi komisyen sebanyak lima peratus jika pelanggan kalah dalam permainan perjudian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu dipercayai mengambil pekerja dalam kalangan generasi muda yang mahir dalam komputer.
Jelas beliau, kebanyakan pekerja itu baru bekerja antara seminggu hingga sebulan dengan sindiket tersebut malah ada dalam kalangan mereka pernah ditahan atas kesalahan sama.
Dalam pada itu, beliau berkata, sindiket berkenaan telah bergiat aktif sejak pertengahan Disember tahun lalu dengan waktu operasi antara pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari.
“Sindiket ini dipercayai memancing pelanggan mereka melalui media sosial Facebook, Whatsapp dan Telegram sebelum berkongsi pautan untuk menawarkan perkhidmatan perjudian kepada pelanggan,” katanya.
Tambahnya, menerusi kedua-dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya 85 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 18 unit komputer riba, lapan set desktop komputer, 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda.
“Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 4(1)(a); Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, empat lelaki dipercayai ah long berusia 25 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan khianat dengan api pukul 2 pagi Jumaat lalu.
Katanya, kesemua suspek ditahan di Jalan Perak, Jelutong di sini untuk membantu siasatan berhubung kes membabitkan seorang wanita berusia 47 tahun dipukul selepas gagal membayar wang pinjaman bernilai RM10,000 kepada salah seorang suspek pukul 5.30 petang, 3 Januari lalu.
“Dalam kejadian berkenaan, suspek telah mengambil kunci kereta dan dua kad bank milik mangsa malah mangsa dikurung selama dua hari.
“Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan oleh anggota Balai Polis Central pukul 10.03 malam, 5 Januari lalu dan turut mengalami cedera ringan di bahagian kepala,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, siasatan mendapati kesemua suspek menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen di sebuah hotel bajet di Jalan Kampung Malabar di sini namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Hasil ujian saringan air kencing kesemua suspek juga bebas dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.