KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) akan bersidang pada penghujung Oktober untuk membincangkan isu terkini berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, setakat ini, Malaysia sedang menilai kesan pelaksanaan tarif terkini ke atas produk farmaseutikal, perabot, automotif dan alat ganti aeroangkasa.
“Ini adalah sesuatu yang telah dijangka. Cuma kita ingin tahu bila ia akan berlaku, dan kita akan menunggu butiran mengenai tarif yang akan memberi kesan kepada beberapa sektor,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, di sini.
Tengku Zafrul berkata, pendirian Malaysia sentiasa berinteraksi dengan AS mengenai isu tarif, sejajar dengan pendekatan negara anggota ASEAN lain.
“Di peringkat ASEAN, kita terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan dengan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras.
“AS berhak melakukan apa yang mereka perlu lakukan, tetapi bagi kita, kita terus menyokong multilateralism serta memperkukuh dan mempelbagaikan syarikat-syarikat kita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Mesyuarat Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN akan bersidang buat pertama kalinya pada 25 Oktober, sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, untuk membincangkan pemecahan geoekonomi semasa.
“Ini adalah kali pertama mesyuarat bersama diadakan, dan Pasukan Tugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) akan membentangkan penemuan serta cadangan mereka kepada kedua-dua menteri luar dan ekonomi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada perbincangan secara langsung antara Malaysia dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengenai isu tarif setakat ini.
“Jadi, perbincangan itu tidak pernah berlaku. Kami lebih menumpukan kepada kerjasama dan aspek ekonomi, terutama berkaitan pelaburan antara AS dan ASEAN.
“Kami juga telah menghasilkan beberapa idea dan cadangan yang akan dimasukkan ke dalam agenda semasa AECC, termasuk penyertaan empat negara.
“Isu ini akan diperincikan dan dibincangkan semula semasa AECC pada bulan Oktober,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, belum ada cadangan mengenai lokasi Sekretariat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan isu itu tidak termasuk dalam agenda Mesyuarat Menteri RCEP ke-4 yang diadakan pada Khamis. – UTUSAN










