JEMPOL: Op Tapis Khas yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol ke beberapa port dadah baru-baru ini bukan hanya menemukan dadah serta tangkapan terhadap pengedar dan penagih bahkan membawa kepada penemuan dua laras senapang buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan di rumah kakitangan kilang getah Felda Serting Hilir Tengah di sini pada pukul 11.40 malam, 22 Januari lalu, pemeriksaan terhadap seorang suspek berusia 30 tahun menemukan selaras senapang angin berukuran panjang lebih kurang 100 sentimeter buatan sendiri serta 27 biji bebola besi.
“Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati senapang berkenaan dibuat sendiri dan dipelajari melalui YouTube menggunakan barang-barang terpakai seperti batang besi, pam racun, pam tayar, kayu serta bebola besi yang dijadikan peluru.
“Suspek menggunakan senapang berkenaan bagi memburu ayam hutan sejak enam bulan lepas. Bagaimanapun, ujian urin suspek didapati negatif, suspek direman dari 22 hingga 26 Januari ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jempol di sini hari ini.
Menurut Chang Hook, bagi kes kedua, ia membabitkan serbuan di pondok wakaf kubur Felda Palong 9, 10, dan 11 pada pukul 3 pagi pada 21 Januari lalu.
“Dua lelaki berusia 47 tahun dan 51 tahun ditangkap dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan selaras senapang angin berukuran lebih kurang 123 sentimeter buatan sendiri dan juga dadah.
“Kedua-dua suspek tidak mengaku senapang berkenaan adalah milik mereka dan memberitahu senapang tersebut milik seorang lelaki yang dikenali sebagai Lebai Palong 7 yang telah melarikan diri ketika dalam serbuan.
“Lelaki berkenaan kini sedang di buru polis dan bagi kesalahan senjata api tersebut, kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1950,” katanya.
Tambah beliau, ujian urin ke atas dua lelaki berkenaan yang direman dari 22 Januari hingga 27 Januari depan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Sementara itu, Chang Hook berkata, sepanjang tiga hari operasi berkenaan dijalankan yang berakhir kelmarin, seramai 30 individu terdiri daripada 28 lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara Indonesia berusia 19 hingga 54 tahun ditangkap.
Mereka yang terdiri daripada pengedar dan penagih dadah itu ditangkap serta disiasat di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan memasukkan dadah ke dalam badan.