Seorang maut, membabitkan kemalangan empat buah kereta di Lipis - Utusan Malaysia

Seorang maut, membabitkan kemalangan empat buah kereta di Lipis

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam sebuah kenderaan yang terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 18, Jalan Lipis ke Benta di Lipis, Pahang. - IHSAN BALAI BOMBA LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang pemandu maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 18, Jalan Lipis ke Benta dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi ini, mangsa, Nik Mohd. Yusri Raja Abdullah, 27, yang memandu kereta Perodua Axia maut di tempat kejadian manakala kakaknya, Nik Norhidayu Raja Abdullah, 32, mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Lipis.

Pemandu tiga buah kenderaan lagi yang terbabit dalam kemalangan itu melibatkan seorang guru dari Pasir Mas, Nur Izzati Yahya, 30, juga mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Lipis, manakala dua orang lagi dari daerah ini tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Nik Mohd. Yusri dalam perjalanan dari Lipis menghala ke Benta.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa telah memotong kenderaan lain di hadapannya, tetapi gagal lalu melanggar tayar belakang sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran ini, kereta mangsa bertembung sebuah lagi kenderaan dari arah hadapan dan juga membabitkan sebuah kereta lagi di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, Nik Mohd. Yusri meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian dalam badan.

“Kakak mangsa dan seorang lagi pemandu wanita yang juga terbabit kemalangan ini masih dalam rawatan di Hospital Lipis,” katanya.

Azli berkata, kemalangan berpunca apabila mangsa yang memotong di garisan berkembar dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, kereta Perodua Axia yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan pecah di bahagian bumper depan, cermin sisi dan fender sebelah kanan kemek.

“Kenderaan pertama yang dilanggar kereta mangsa juga tercabut tayar belakang sebelah kanan, manakala kenderaan yang kedua dan ketiga mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, cermin, bumper depan pecah dan kemik di bahagian bonet.

“Kenderaan yang terbabit akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan kemalangan,” jelasnya.

Jelasnya, kes kemalangan itu akan siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya