GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah segera menyelesaikan masalah rumah kepada 30 keluarga di Kampung Baru, Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Sungai Petani yang terlibat dengan arahan pemindahan oleh pemilik tanah di kawasan itu baru-baru ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius kerana menimbulkan gelisahan dalam kalangan mereka yang terbabit setelah tempat berteduh sejak berpuluh-puluh tahun lamanya telah dan akan dirobohkan.
Jelas beliau, kejadian tersebut berlaku setelah penduduk-penduduk kampung berkenaan menerima arahan Mahkamah Tinggi supaya mengosongkan tanah yang mereka duduki selewat-lewatnya 3 Januari lalu.
“Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati penduduk-penduduk di kampung tersebut gelisah dan memohon simpati agar masalah ini diberi perhatian oleh pihak berwajib.
“Berikutan kejadian itu mereka terpaksa menyewa rumah, menumpang rumah saudara-mara dan ada yang terpaksa berteduh di bawah khemah di kawasan hutan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Apa yang lebih menyedihkan tambah Mohideen, walaupun kediaman mereka sudah menyembah bumi dan ada yang masih menunggu dengan penuh debaran, namun tidak ada sebarang pampasan atau bantuan diberikan pihak berkenaan bagi mengurangkan bebanan mereka.
“Kita difahamkan ada dalam kalangan penduduk yang terlibatkan merupakan pesara kerajaan, nelayan, peniaga kecil, buruh kasar, pekerja kilang yang berpendapatan antara RM300 hingga RM1,000 sebulan dan tidak mampu untuk menempah kehidupan baharu,” katanya.
Jelasnya Mohideen, CAP bersimpati dengan penduduk-penduduk kampung tersebut dan berharap kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan itu supaya tidak berlarutan sehingga memberi kesan yang lebih buruk ke atas kehidupan keluarga penduduk terbabit.
Sementara itu, seorang penduduk, Kholijah Kassim, 63, buntu memikirkan tempat tinggalnya selepas ini berikutan rumahnya sudah pun dirobohkan.
Dia yang hanya bergantung hidup kepada hasil jualan kuih-muih dengan pendapatan hanya RM10 sehari merayu kerajaan menyediakan rumah untuknya berlindung secepat mungkin.
“Saya sedih dan kesal kerana sehingga kini tidak ada pihak yang datang meninjau dan membantu menyelesaikan kesusahan yang kami alami,” katanya. -UTUSAN ONLINE