KUALA NERUS: Selepas sehari diijab kabul, seorang graduan dari Semenyih, Selangor meraih hadiah perkahwinan terindah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), hari ini.
Noor Syafiqah Azim Mohd. Zainurin, 26, menerima anugerah tertinggi itu dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-12 sekali gus membawa pulang wang RM7,500 di samping sijil dan pingat bersadur emas bernilai RM1,000.
Lebih manis, graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Informatik Media) sesi 2020 yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 itu turut bergraduasi bersama suaminya, Izran Iskandar Rosli, 26, yang juga rakan sekuliah.
Noor Syafiqah Azim berkata, walaupun penat dengan kedua-dua majlis besar itu, namun dia gembira kerana segalanya berjalan lancar.
Katanya, mereka sekeluarga termasuk mentua bertolak ke Terengganu dari Semenyih pada pukul 11 malam semalam selepas majlis resepsi dan tiba pukul 6 pagi ini.
“Saya dan suami dimaklumkan tentang majlis konvokesyen pada akhir Disember lalu, pada masa itu kalut juga memikirkan tarikhnya yang bertembung dengan perkahwinan kami.
“Kesibukan menguruskan hari bahagia membuatkan saya tidak sempat memikirkan tentang konvokesyen dan memakai semula baju pertunangan, dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Seramai 3,345 graduan Unisza menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen secara bersemuka hingga Khamis ini.
Daripada jumlah itu, seramai 105 merupakan graduan doktor falsafah (PhD) diikuti 126 sarjana, sarjana muda (1,801 orang) dan diploma (1,178 orang).
Noor Syafiqah Azim yang kini bekerja sebagai pencipta kandungan digital di konglomerat media berkata, dia dan suami dijadualkan menerima ijazah masing-masing pada Selasa ini. -UTUSAN ONLINE