Sektor swasta tidak terkecuali bantu pacu pembangunan ekonomi - Ketua Menteri Sarawak - Utusan Malaysia

Sektor swasta tidak terkecuali bantu pacu pembangunan ekonomi – Ketua Menteri Sarawak

ABANG Johari Tun Openg (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Ketua Menteri @ Sarawak, di Imperial Hotel, Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Walaupun kerajaan negeri telah memperkenalkan banyak inisiatif untuk menerajui hala tuju baharu ekonomi negeri, sektor swasta juga perlu terlibat sepenuhnya dalam memacu pertumbuhan Sarawak, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kunci untuk merealisasikan Sarawak sebagai sebuah ekonomi maju menjelang 2030 ialah penglibatan warga perniagaan Sarawak melabur dalam projek di negeri ini.

“Kerajaan negeri akan meningkatkan usaha mempromosikan keusahawanan dan pelaburan dalam kalangan rakyat Sarawak yang berminat untuk membangun dan melaksanakan projek mereka,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Keusahawanan Ketua Menteri @ Sarawak 2021 di sini hari ini.

Sehubungan itu jelas beliau, dewan perniagaan memainkan peranan penting menyelaraskan hubungan antara perniagaan masyarakat dan kerajaan negeri dan bekerja bersama-sama menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

Abang Johari turut menegaskan pentingnya membangunkan maklumat dan infrastruktur teknologi komunikasi untuk mengangkat ekonomi negeri ini setanding dengan ekonomi yang lebih maju, dan menarik pelaburan dalam bidang baharu seperti pengkomputeran awan, data pertanian, kecerdasan buatan, robotik dan ‘internet of things’ (IoT). 

Katanya, kerajaan negeri komited untuk membangunkan infrastruktur ICT bertaraf dunia, ekonomi digital yang memerlukan penyertaan aktif komuniti perniagaan tempatan dengan menggunakan infrastruktur untuk menambah nilai perniagaan mereka.

“Ahli politik dan kerajaan dapat memberikan hala tuju dan rangka kerja yang terbaik untuk ekonomi, tetapi sektor swasta yang mesti lakukan semua kerja keras untuk menggerakkan sesuatu,” katanya.

Menurut Abang Johari, di tengah-tengah ekonomi digital ialah kewujudan ekosistem keusahawanan cergas yang menyokong usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau juga memberi jaminan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan iklim yang ideal untuk pelaburan melalui dasar dan inisiatif mesra perniagaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.

“Dalam Bajet 2022, kerajaan negeri akan meneruskan strategi serampang tiga mata, iaitu, terus mempelbagaikan ekonominya dengan tumpuan khusus mengenai pemodenan pertanian, pengukuhan infrastruktur, memajukan pelancongan dan mempercepatkan pembangunan modal insan.

“Kerajaan akan mempercepatkan inisiatif transformasi luar bandar dengan pelaksanaan pelbagai kerja infrastruktur utama seperti jalan raya dan jambatan, kemudahan asas awam dan kemudahan yang akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan merangsang permintaan dan terus meningkatkan hasil negeri supaya negeri boleh mempunyai fleksibiliti fiskal dalam menguruskan sumber kewangan dan dalam menyusun strategi agenda pembangunannya.

“Ini akan membolehkan negeri melaksanakan projek infrastruktur dan kemudahan asas di seluruh negeri dengan cepat dan pada masa yang sama membina rizab yang mencukupi untuk mengharungi sebarang kemungkinan. Strategi ini penting dalam memenuhi objektif untuk mempercepatkan pembangunan di negeri bagi memastikan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya