Sarawak lulus kekerapan penerbangan 562 seminggu - Utusan Malaysia

Sarawak lulus kekerapan penerbangan 562 seminggu

LEE KHIM SHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah meluluskan  sebanyak 562 kekerap penerbangan seminggu ke Sarawak berkuat kuasa mulai 14 Januari ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Khim Shin  berkata, susulan keputusan JPBN itu, perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan semua syarikat penerbangan telah diadakan.

Perbincangan itu katanya, bertujuan memperhalusi kekerapan penerbangan baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terhadap pengembara dan penumpang yang memasuki Sarawak.

Katanya, Kementerian Pengangkutan Sarawak telah membentangkan cadangan untuk menambah kekerapan penerbangan itu kepada JPBN untuk pertimbangan dan kelulusan pada 12 Januari lalu.

Beliau berkata cadangan itu disediakan setelah berunding dengan semua syarikat penerbangan.

“Dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini, JPBN telah mengarahkan semua syarikat penerbangan untuk meneruskan tambang penerbangan biasa dan lebih rendah. 

“Syarikat penerbangan juga diingatkan untuk membantu dan memastikan hanya penumpang yang diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan menaiki pesawat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khim Shin menegaskan,  bahawa sangat penting untuk memastikan SOP baharu JPBN dipatuhi dengan teliti dalam usaha mengawal Covid-19 daripada terus merebak di negeri ini.

“Kami juga ingin mengingatkan semua pengembara dan penumpang yang datang ke negeri ini supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan , Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBN,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, pada masa ini pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Mavcom, dan semua syarikat penerbangan mengenai kelulusan kekerapan penerbangan baharu itu.

Pihak terbabit akan membuat tindakan susulan iaitu mengesahkan jadual penerbangan mereka melalui aerofile ke Mavcom, menggerakkan tenaga kerja dan pesawat mereka untuk memenuhi penerbangan baharu itu dan keperluan jadual.

Khim Shin berkata, antara SOP baharu yang ditetapkan oleh JPBN untuk menggalakkan kedatangan pelancong ke Sarawak ialah menaikkan syarat untuk mengisi EnterSarawak dalam talian bagi kelulusan kemasukan bagi rakyat Sarawak, rakyat Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya dan telah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya untuk tempoh 14 hari lepas. 

Bagaimanapun, katanya penggembara masih wajib untuk mengisi borang pengisytiharan kesihatan (eHealth Declaration form) sebelum ke Sarawak.

Kini, katanya terpulang kepada syarikat penerbangan untuk mula beroperasi pada kekerapan dan jadual penerbangan baharu mulai 14 Januari 2022. Butirannya boleh didapati di laman web MOTS di [email protected].

“JPBN dan MOTS amat percaya bahawa dengan kekerapan penerbangan baharu dan lebih banyak serta tambang penerbangan yang lebih rendah, penarikan balik sekatan perjalanan antara negeri, penurunan kes positif Covid-19 di Sarawak akan mengaktifkan semula aktiviti perniagaan, sosial dan pelancongan di Sarawak,” katanya.

Secara ringkasnya peningkatan kekerapan penerbangan dari luar Sarawak ke semua bandar dan pekan utama di negeri ini adalah seperti berikut:-

  • Kuching meningkat daripada 149 kepada 279 seminggu,
  • Miri meningkat daripada 61 kepada 127 seminggu,
  • Sibu meningkat daripada 45 kepada 83 seminggu,
  • Bintulu meningkat daripada 38 kepada 59 seminggu, dan
  • Limbang dan Mulu kekal tujuh kali seminggu, masing-masing.

 

UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya