MELAKA: Bencana banjir di Melaka tidak akan selesai selagi sistem baraj di Sungai Melaka tidak dibaiki dan ditambah baik, kata bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu menjelaskan, sistem di Batu Ampar juga perlu dinaik taraf memandangkan ia dilihat sebagai punca banjir di Durian Tunggal, Krubong dan Bandar Melaka.
Beliau berkata, produk pelancongan negeri yang dipercayai merujuk kepada Melaka River Cruise telah mengganggu aliran air di Sungai Melaka sehingga mengakibatkan kejadian bah berulang.
“Kita sudah mengganggu aliran air di Sungai Melaka bagi menjayakan pelancongan negeri, namun banjir berulang juga akan menyebabkan ekonomi negeri dan kehadiran pelancong juga terkesan.
“Sampai bila rumah harus terendam dan sebahagian hidup rakyat dalam ketakutan serta kerosakan harta benda sekiranya sistem tidak segera ditambah baik.
“Pasang surut air laut tidak wajar dijadikan alasan kerana laut memang pasang dan surut semenjak azali lagi,” katanya di sini hari ini.
Pada Julai 2019, ketika memimpin Melaka, Adly mengumumkan kerajaan negeri akan mendahulukan bajet kewangan negeri sebanyak RM10 juta untuk menaik taraf sistem baraj di muara Sungai Melaka dalam usaha mengatasi masalah banjir.
Peruntukan kerajaan negeri serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu sudah diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka untuk pembaikan segera baraj sebelum hujung tahun 2019.