Sah, Pas mahu bertanding dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

Sah, Pas mahu bertanding dalam PRN Johor

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dibubarkan dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, buat masa ini parti itu belum menetapkan kaedah untuk bertempur sekali gus mengambil pendekatan tunggu dan lihat perkembangan semasa.

Malah, katanya, sehingga kini Pas belum membincangkan situasi politik di Johor dan menganggap spekulasi PRN sebagai khabar angin.

“Pas akan bertanding, kalau di PRN Sarawak pun kita bertanding, apa lagi di Johor yang dekat.

“Tetapi macam mana cara bertanding, kita akan lihat dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Terdahulu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.

Seorang pemimpin kanan parti itu berkata, sebahagian besar ahli MT cenderung ke arah PRN kali keempat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Sementara itu, ketika ditanya kesediaan Pas untuk berlawan dengan rakan Muafakat Nasional (MN), UMNO sekiranya kedua-dua parti bertembung sekali lagi sebagaimana di PRN Melaka, Abdul Hadi enggan memberi komen lanjut.

“Nanti apabila sudah bubar (DUN), baru kita tentukan,” katanya.–UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN