SUNGAI PETANI: Seorang pembantu kedai emas bersama anak lelaki dan lapan tetamu tidak sempat menghabiskan makan malam apabila rumah mereka di Lorong Lebai Harun, Kampung Masjid di Tikam Batu di sini terbakar pada malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Kamaliah Aziz, 36, dan anak tunggalnya, Muhammad Harith Haziz, 8, serta lapan tetamu yang merupakan saudara mereka sempat menyelamatkan diri.
Menurut Kamaliah, kejadian berlaku ketika mereka sedang makan malam di ruang tamu rumah.
“Kami terkejut apabila terdengar bunyi letupan kecil dari bilik atas sebelum didapati berlaku percikan api.
“Saya terus mengarahkan anak dan semua tetamu keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, dia bersyukur kerana keseluruhan tingkat atas rumah yang diperbuat daripada papan itu terbakar sebaik sahaja mereka keluar menyelamatkan diri.
“Walaupun kehilangan rumah dan harta benda lain, namun saya tetap bersyukur kerana tiada kecederaan mahupun kehilangan nyawa dalam kejadian ini,” jelasnya.
Sementara itu Ketua Operasi Balai Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Pegawai Bomba Kanan 2, Shaari Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.40 malam.
“Rumah terbakar hampir 90 peratus selain sebuah kereta dan dua motosikal,” katanya.
Kebakaran memusnahkan kereta jenis Proton Saga FLX dan dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC milik Kamaliah.
Tambahnya, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.










